Mengapa Kontrak Futures dalam Platform Saham/Kripto Dianggap Haram?

9 Jun 2023 by Sharlife

Gambaran Keseluruhan Futures Contract

Futures contract adalah kontrak atau akad yang berlaku diantara pihak pembeli dan penjual yang membolehkan mereka bersetuju untuk membeli atau menjual sesuatu aset atau barangan pada tarikh dan harga yang telah ditetapkan. Harga pasaran barang atau aset tersebut boleh jadi lebih tinggi atau lebih rendah pada tarikh yang dijanjikan berbanding dengan ketika akad dilakukan. Sekalipun perubahan harga berlaku, kontrak atau akad tetap perlu dijalankan.

Sudut Pandang Shariah

Majoriti ulama berpandangan bahawa futures contract mempunyai isu dan berpotensi menyalahi Shariah. Terdapat beberapa faktor yang boleh kita gariskan yang menjadi isu dengan Shariah:

  • Terjadinya jual beli barang atau aset yang masih belum ada. Hal ini mungkin mengandungi unsur gharar.
  • Berlakunya jual beli hutang. Ini juga merupakan satu bentuk riba yang dilarang di dalam Islam.
  • Futures contract juga boleh dilakukan secara leverage, maka boleh jadi berlakunya riba sekiranya broker mengenakan caj tambahan ke atas pinjaman yang diberikan.
  • Kontrak ini biasanya diselesaikan secara tunai sahaja. Hal ini bermakna underlying aset atau barang yang dijual beli di dalam kontrak ini hakikatnya tidak diinginkan dan tidak menjadi tujuan utama berlakunya kontrak diantara kedua-dua pihak. Ia hanya digunakan sebagai penentu kadar naik turun harga. Naik mahupun turun harga akan menyebakan satu pihak rugi dan satu pihak untung. Aktiviti ini tidak lari daripada unsur perjudian.

Maka, jelas bahawa futures contract yang ditawarkan di platform-platform saham atau kripto mempunyai tiga unsur yang sangat ditegah dalam Islam iaitu keterlibatan unsur riba, gharar dan maysir (perjudian). 

Berbeza pula di Malaysia, Majlis Penasihat Syariah (MPS) bagi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah meluluskan kontrak futures yang patuh Shariah seperti futures contracts on crude palm oil (FCPO) dan Stock index futures contracts (selagimana aset pendasarnya adalah patuh Shariah).

Pihak MPS telah membahaskan isu-isu Shariah yang berpotensi berlaku di dalam kontrak futures. Perbincangannya adalah seperti berikut:

  • Maysir (perjudian): MPS berpendapat bahawa keperluan yang dikenakan ke atas pelabur untuk meletakkan deposit sebagai margin pembayaran sebelum mulakan trading tidak mempunyai sebarang unsur perjudian. Hal ini kerana, fluktuasi bagi nilai harga komoditi, iaitu minyak kelapa sawit mentah, dipengaruhi oleh demand atau permintaan di pasaran futures dan bukannya bergantung kepada nasib semata-mata. Maka ia bukanlah suatu perjudian.
  • Gharar (ketidakpastian): Di dalam kontrak FCPO, telah dinyatakan kuantiti, jenis, harga dan tarikh penghantaran kepada pelabur. Maka tiada unsur gharar di sini.
  • Spekulasi: MPS berpendapat bahawa spekulasi adalah perkara normal yang memang ada dalam segala bentuk bisnes dan ianya bukanlah suatu yang unik dan hanya ada pada kontrak futures.

Sekalipun MPS berpandangan begini, tetapi pandangan ini tidak lari juga daripada kritikan-kritikan daripada ahli akademik. Kritikan ini wujud apabila isu ini dipandang daripada sudut maqasid Al- Shariah, dan bukan hanya pada kontrak semata-mata. Mereka(1) berpendapat bahawa kontrak futures adalah satu kontrak yang bersifat dapat hajiyyah, ia tidak diambil kira sebagai parkara dharuriyyah kerana tanpa FCPO, tidak akan berlaku sebarang kemudharatan kepada masyarakat. Salah satu isu di dalam FCPO yang mereka nyatakan adalah FCPO ini menyalahi tujuan sebenar kontrak di dalam Islam iaitu untuk pemilikan. Hakikatnya, penghantaran FCPO yang sebenar secara fizikal sangatlah sedikit dan ini menyalahi tujuan sebenar kontrak yang dilakukan untuk menerima aset atau komoditi tersebut.

Kesimpulan

Sekalipun perbahasan di atas adalah perbincangan umum berkait futures contract, namun futures contract yang ada di dalam cryptocurrencies juga tidak lari daripada unsur-unsur haram yang dijelaskan di atas. Boleh jadi berlakunya riba bilamana ada caj ke atas hutang, dan boleh jadi juga berlakunya maysir (perjudian) sekiranya kontrak dilangsaikan secara tunai sahaja dan aset pendasar itu hakikatnya hanya berfungsi sebagai wadah dalam menentukan harga. Maka,  kami nasihatkan kepada pelabur diluar sana untuk berhati-hati dengan kontrak futures.

(1) Nadhirah Nordin, ,. M. (2017). Commodity Futures: A Maqasid Al-Shariah Based Analysis. Retrieved from https://hrmars.com/papers_submitted/3265/Commodity_Futures_A_Maqasid_Al-Shariah_Based_Analysis.pdf