Adakah Arbitrage Trading Halal?

6 Jun 2023 by Sharlife

Apa itu Arbitrage Trading?

Arbitrage Trading di dalam konteks pelaburan kripto merupakan salah satu daripada cara pelabur menjana keuntungan. Caranya adalah dengan memanfaatkan perbezaan harga di platform pertukaran yang berbeza. Harga kripto di setiap exchanger atau platform pertukaran adalah tidak sama. Hal ini terjadi kerana harga sesuatu aset atau barang itu dipengaruhi oleh “Supply and Demand Theory”. Ianya merupakan satu perkara asas di dalam ekonomi bahawa apabila demand atau permintaan naik, maka harga juga akan naik. Apabila bekalan, stok atau supply berkurangan, maka harga akan naik. Begitulah sebaliknya, dan inilah juga yang berlaku di dalam dunia kripto.

Antara faktor lain yang mempengaruhi perbezaan harga ini juga adalah tahap populariti sesebuah exchanger atau platform pertukaran itu sendiri. Semakin popular sesebuah platform itu, semakin banyaklah penggunanya, dan banyaknya pengguna berpotensi membawa kenaikan kepada demand suatu token/coin. Maka, arbitrage trading berlaku bilamana seseorang pelabur itu membeli token/coin di sebuah platform pertukaran yang menawarkan harga yang rendah dan menjualnya di dalam platform pertukaran yang menawarkan harga yang tinggi.

Sudut Pandang Shariah

Kita kembali kepada salah satu doktrin asas dalam fiqh muamalat bahawa:  

“Hukum asal bagi kontrak-kontrak dan syarat-syarat di dalam urusan kewangan adalah harus (selagimana tiada bukti yang menjadikan ia menyalahi Shariah).”

Maka, arbitrage trading boleh dilihat sebagai jual beli biasa di lokasi yang berbeza. Sekiranya coin/token tersebut dinilai sebagai sebuah digital aset, maka ianya perlu memenuhi syarat-syarat yang diletakkan ke atas sesebuah aset di dalam jual beli. Sekiranya ianya diambil kira sebagai matawang pertukaran, maka ia terikat dengan syarat-syarat di dalam Bay’ Saraf dan jual beli barang ribawi. Selagi mana tiada aktiviti yang haram atau unsur yang haram dimasukkan ke dalam arbitrage trading, maka kami berpandangan ianya harus dan sah jual belinya kerana kembali kepada hukum asal dan kaedah yang disebutkan diatas.

Perlu juga diambil kira kaedah fiqhiyyah yang menyatakan bahawa:

“Hukum asal di dalam setiap kontrak adalah perlunya ada keadilan.”

Oleh itu, seandainya transaksi jual beli arbitrage trading mengandungi unsur kezaliman terhadap mana-mana pihak yang terlibat di dalam kontrak tersebut, maka ianya mungkin akan menimbulkan isu daripada sudut pandang Shariah.

Kesimpulan

Ringkasnya, kami berpandangan arbitrage trading tidak menyalahi Shariah dan ianya harus selagimana tiada unsur atau aktiviti yang  haram atau dilarang oleh undang-undang. Namun, sekiranya berlaku kezaliman atau ketidak adilan kepada mana-mana pihak yang berkontrak, maka ini akan menimbulkan isu juga pada sudut pandang Shariah.