Adakah Bisnes Kondom Patuh Syariah?

1 November 2021 by Sharlife

Baru-baru ini, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengeluarkan senarai saham patuh Syariah sebagai rujukan pelabur-pelabur di Malaysia, terutamanya pelabur beragama Islam yang ingin menjana keuntungan, pada masa yang sama ingin menjaga sumber pendapatan mereka supaya tidak terlibat dengan apa jua perniagaan atau bisnes tidak patuh Syariah. Di antara saham patuh Syariah dalam senarai edisi Mei 2021 tersebut, tumpuan utama diberikan kepada sebuah syarikat yang menjalankan penghasilan dan penjualan kondom, namun dinilai sebagai patuh Syariah oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Ianya menjadi bualan hangat pelabur-pelabur seolah menyangkal keputusan tersebut. Dalam artikel kali ini kami beri sedikit penerangan secara ringkas mengapa saham syarikat yang menjalankan perniagaan kondom dikategorikan sebagai saham patuh Syariah.

Asasnya kepada penentuan sesuatu hukum, kita akan sentiasa kembali  merujuk kepada Qaidah Fiqhiyyah atau kaedah fiqh untuk mengeluarkan ijtihad atau hukum, sekiranya tiada ketetapan hukum yang boleh diistinbat atau diambil secara terus daripada dalil al-Qur'an, as-Sunnah, Ijma' dan Qiyas.

3 Kaedah Fiqh

Disini kami bawa 3 kaedah fiqh yang boleh diambil dan diaplikasikan untuk menjadi asas penetapan hukum harus untuk membeli atau melabur dalam syarikat yang menjalankan perniagaan dan penghasilan kondom. Tiga Qaidah Fiqhiyyah tersebut adalah seperti berikut:

1. Al-Istishab Bi Hukmi Mubah iaitu kembali kepada hukum asal yang harus, dibolehkan atau dibenarkan.

2. Al-Aslu Al-Ibahah iaitu hukum bagi setiap sesuatu adalah harus, dibolehkan dan dibenarkan sehingga datang qarinah atau bukti luaran yang mengubah hukum kepada haram atau makruh.

3. Al-Umur Bi Maqasidiha, difrasakan semula menjadi Istikhdam Asy-Syai Bi Maqasidiha iaitu hukum menggunapakai sesuatu alat adalah bergantung kepada tujuan asal penghasilannya.

Matlamat Utama

Seperti yang kita sedia maklum kondom digunapakai ketika melakukan hubungan seks dan tujuan kondom digunakan dalam hubungan seks adalah untuk menghalang persenyawaan ovum dan sperm. Terdapat sisi positif dan sisi negatif penggunaan kondom dalam kalangan masyarakat kita, dari satu sudut, penggunaan kondom adalah sebagai salah satu kaedah perancangan keluarga. Pasangan suami isteri dapat menikmati persetubuhan, pada masa yang sama mengurangkan risiko hamil. Setiap pasangan mempunyai perancangan perkembangan keluarga masing-masing.

Dari satu sudut lain, penggunaan kondom dalam kalangan ahli maksiat seperti pengamal seks bebas atau seks luar nikah pula adalah bertujuan untuk mengelakkan bukti berlakunya hubungan seksual, iaitu mengandung, seterusnya mengelakkan kelahiran anak tidak sah taraf. Ianya secara tidak langsung seperti menggalakkan lagi perbuatan zina.

Secara Umumnya, penggunaan kondom adalah untuk mengelakkan risiko mengandung hasil daripada hubungan seksual, tanpa mengira samaada hubungan seksual itu dilakukan oleh pasangan suami isteri yang sah ataupun tidak.

Maslahah Usrah Wal 'Ammah

Kita sedia maklum bahawa kos sara hidup di Malaysia, terutamanya di Lembah Klang adalah tinggi. Kos sara hidup bujang sahaja sudah tinggi, apatah lagi apabila sudah berumahtangga, maka sudah tentu kos sara hidup dengan tanggungan anak-anak lebih membebankan bagi golongan berpendapatan sederhana dan kebawah. Selain kerana faktor kos sara hidup yang tinggi, perancangan keluarga yang betul dapat membantu kesejahteraan dan kesihatan ahli keluarga seluruhnya. Contohnya, pasangan yang mempunyai anak-anak yang rapat jarak umurnya mungkin berisiko untuk tidak memenuhi keperluan setiap anak dengan sempurna atas sebab-sebab tertentu. Maka ramailah pasangan suami isteri bersetuju untuk mengamalkan perancangan keluarga yang betul. Antara kaedah perancangan keluarga adalah dengan menggunakan kondom ketika melakukan hubungan seksual.

Maslahah di sini merujuk kepada maslahah usrah, iaitu kebaikan jangka panjang kepada pasangan dan keluarga, seterusnya akan membawa kepada maslahah 'ammah iaitu kebaikan jangka panjang kepada ummah umumnya.

Sadd Zari'ah

Adapun tentang penggunaan kondom oleh pelaku seks bebas dan pelaku seks luar nikah adalah untuk mengelakkan kehamilan hasil hubungan seks luar nikah, seterusnya mengelakkan kelahiran anak tidak sah taraf. Realitinya, adalah hampir mustahil untuk kita umumnya, dan pihak berkuasa khususnya untuk mensifarkan atau menghilangkan secara mutlak aktiviti seks bebas dan seks luar nikah dalam masyarakat Muslim di Malaysia. Jadi, penggunaan kondom oleh golongan ini adalah untuk mengurangkan risiko hamil hasil seks luar nikah, seterusnya mengurangkan kadar kelahiran anak sah taraf di Malaysia yang membawa kesan yang lebih teruk terutamanya kepada anak itu sendiri.

Al-Muwazanat Bainal Maslahah Wal Mafsadah

Seterusnya kita menimbangtara antara kebaikan dan keburukan penggunaan kondom dalam masyarakat Muslim di Malaysia. Kita melihat bahawa peratus Muslim yang bernikah mengikut Syarak dan undang-undang seterusnya melakukan seks secara halal adalah lebih besar daripada peratus Muslim yang berzina dan mengamalkan seks bebas atau seks rambang. Hasil dapatan ini memberi kesimpulan bahawa kondom memberi maslahah yang lebih besar daripada mafsadah kepada masyarakat Muslim di Malaysia. 

Kesimpulan

Justeru, kami simpulkan perniagaan yang dijalankan oleh syarikat pengeluar kondom adalah perniagaan patuh Syariah mengikut waqi' di Malaysia. Adapun, status patuh Syariah sesuatu syarikat masih boleh berubah apabila kita melakukan penilaian kuantitatif (quantitive assesment) terhadap laporan kewangan tahunan (Annual Financial Report) syarikat tersebut.