Adakah Crypto Bot Trading Halal?

24 May 2023 by Sharlife

Inovasi teknologi telah membawa perubahan yang signifikan dalam dunia pelaburan, dan salah satu trend yang sedang hangat dalam kalangan pelabur kripto adalah crypto bot trading.

Namun begitu, sebagai pelabur muslim, semestinya kita mencari instrumen atau alat pelaburan yang memenuhi kriteria-kriteria Shariah. Persoalannya, adakah crypto bot trading halal? Apakah perkara yang perlu dititik beratkan sebelum menggunakan crypto bot trading ini? Dan banyak lagi persoalan. Dalam artikel ini, kita akan rungkaikan perspektif Shariah dalam konteks crypto bot trading dan bagaimana para pelabur Muslim dapat memanfaatkan peluang ini.

Apa itu Trading Bot?

Trading Bot adalah alat yang membantu pelabur membeli dan menjual kripto pada waktu yang tepat dengan harga yang mereka inginkan secara automatik. Dalam erti kata lain, Trading Bot adalah smart trading tools yang membeli dan menjual kripto atas nama pelabur. Trading Bot ini ada disediakan di pelbagai medium pelaburan kripto, antaranya Bybit dan Binance. Ia merupakan salah satu daripada strategi pelaburan low risk and low return.

Antara contoh Trading Bot adalah Spot Grid Trading. Ia merupakan sebuah strategi dalam melakukan pembelian dan penjualan kripto secara automatik pada interval dan jurang harga yang telah ditetapkan untuk membina grid perdagangan. Kebiasaannya ia digunakan pada rentang terbatas, atau lebih dikenali sebagai bounded range, di dalam pasar yang memiliki volatiliti yang tinggi. Bahasa mudahnya, pelabur kebiasaannya menggunakan alat ini ketika market sedang melalui fasa sideway, tetapi mempunyai volatiliti yang tinggi.

Dengan Trading Bot juga, pelabur dapat melakukan perdagangan dengan lebih jelas dan menghindari emosi dalam memutuskan keputusan ketika berjual beli kripto. Pelabur hanya perlu menetapkan keadaan pasaran yang akan trigger jual beli kripto. Kemudian, segala jual beli kripto akan dilakukan secara automatik oleh Trading Bot. Operasinya juga akan lebih cepat.

Halal atau Haram ya?

Penggunaan Trading Bot itu sendiri tidak menjadi masalah selama mana semua aspek mengikut prinsip-prinsip Shariah. Hal ini selari dengan doktrin di dalam fiqh muamalat bahawa:

Hukum asal dalam transaksi muamalat adalah harus.

Maka selagi mana tidak ada unsur atau bukti yang menjadikan ia haram, maka ia kekal pada hukum asal iaitu harus. Namun, jika Trading Bot itu terlibat dalam aktiviti yang dilarang seperti perdagangan leverage, maka ini boleh menjadikan ia sebagai aktiviti yang haram. Maka keuntungan yang diperolehi daripada aktiviti itu juga tidak akan selari dengan Shariah kerana perdagangannya sendiri tidak mematuhi Shariah.

Antara jalan bagi memastikan Trading Bot itu menepati kehendak Shariah, penting untuk memastikan bahawa bot itu terbatas pada perdagangan berbasis spot dan tidak terlibat dalam perdagangan margin atau futures. Selain itu, sangat penting untuk memeriksa bahwa kedua pasangan koin atau token yang terlibat dalam perdagangan tersebut adalah patuh Shariah.

Garis Panduan Crypto Bot Trading

Untuk memastikan semua operasi dalam Trading Bot mematuhi Shariah, kami akan senaraikan elemen-elemen yang mungkin tidak memenuhi kriteria Shariah:

  • Pastikan anda berdagang di dalam perdagangan berbasis spot.
  • Elakkan perdagangan margin atau leverage yang terlibat.
  • Pastikan koin/token yang digunakan adalah patuh Shariah.
  • Gunakan platform yang dikawal selia atau terkenal agar anda dilindungi oleh undang-undang sekuriti negara dan dapat mengelak daripada menjadi mangsa skim penipuan.

Semoga garis panduan ini dapat membantu anda dalam memastikan operasi di dalam Trading Bot itu selari dan memenuhi dengan prinsip-prinsip dan kriteria-kriteria Shariah.

Kesimpulan

Kesimpulannya, Trading Bot ini tiada isu Shariah selagimana ianya digunakan pada pelaburan-pelaburan yang patuh Shariah. Sekalipun Trading Bot dilihat banyak membantu dan memudahkan pelabur di dalam urusan jual beli mereka, namun sebagai seorang muslim kita haruslah lebih berwaspada ketika menggunakan alat ini, bimbang ianya boleh melibatkan kita dalam transaksi dan instrumen pelaburan yang tidak patuh Shariah.