Bank Islam Pertama di Dunia

15 Februari 2022 by Sharlife

Topik perbankan Islam kini sedang hangat dibicarakan oleh komuniti. Perbankan Islam dilihat sama seperti perbankan konvensional dan digelar hanya menggunakan istilah "Islam" untuk mengaburi mata komuniti. Namun, sebelum membuka perbincang mengenai sistem dan isu yang timbul di dalam perbankan Islam, tahukah anda tentang sejarah penubuhan perbankan Islam?

Sejarah Perbankan Islam

Penubuhan perbankan Islam di dunia telah pun bermula seawal tahun 1963, iaitu apabila Mit-Ghamr Local Saving Bank ditubuhkan di Mesir oleh Dr. Ahmad El Naggar, seorang ahli ekonomi sebagai projek percubaan perintis untuk mempraktikkan prinsip-prinsip Islam dalam perbankan tanpa penggunaan istilah syariah. Projek perintis ini telah menjadikan German Savings Bank sebagai model yang digabungkan dengan konsep bank komersial untuk membentuk sebuah rangka kerja perbankan yang berlandaskan Islam. 

Mit-Ghamr Local Saving Bank telah mewujudkan tiga produk iaitu produk akaun simpanan, akaun pelaburan dan akaun zakat. Tiada caj atau pembayaran faedah (interest) yang dikenakan kepada pendeposit akaun simpanan, namun mereka boleh mengeluarkan wang mereka apabila perlu. Selain itu, pelanggan juga boleh membuat pinjaman jangka masa pendek (interest-free loan) untuk tujuan pembangunan. Dana yang diterima untuk akaun pelaburan juga dilaburkan di bawah konsep keuntungan dikongsi bersama, dimana dilabur secara terus atau kerjasama di dalam industri. Manakala, akaun zakat pula untuk mengutip zakat dan diagihkan kepada yang miskin.

Projek ini telah mencapai kejayaan dan menarik lebih ramai pelanggan dengan peningkatan jumlah pendeposit dalam akaun simpanan dan akaun pelaburan. Namun sayangnya projek ini tidak dapat diteruskan atas beberapa faktor politik yang timbul. Walau bagaimanapun, kejayaan projek ini telah membuktikan bahawa asas prinsip Islam dapat diaplikasikan dalam aktiviti perbankan komersial, iaitu dengan tidak melibatkan faedah (interest) kerana faktor pengharaman riba. 

Perbankan Islam di Malaysia

Perbankan Islam mula bertapak di Malaysia pada tahun 1983 iaitu dengan pelancaran Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) sebagai bank Islam yang pertama di Malaysia. Institusi Tabung Haji adalah antara pendorong kepada penubuhan institusi perbankan Islam di malaysia. Hal ini kerana kejayaan mekanisma institusi Tabung Haji dalam membantu masyarakat Islam malaysia membuat simpanan untuk menunaikan rukun Islam yang kelima itu, iaitu mengerjakan haji. 

Dengan kejayaan insitusi Tabung Haji dan kepercayaan masyarakat terhadap kewangan Islam, perkara ini telah mendorong kepada permintaan masyarakat kepada institusi perbankkan Islam. Justeru, BIMB ditubuhkan dengan tujuan untuk memberikan alternatif kepada masyarakat muslim di negara ini untuk menggunakan perbankan yang berlandaskan syariah.

Kesimpulan

Industri perbankan Islam di Malaysia kini telah wujud lebih daripada 30 tahun. Dahulu kita tidak mempunyai alternatif kepada produk-produk kewangan konvensional. Namun, kini perbankan islam telah menawarkan produk-produk yang patuh syariah seperti produk perlindungan takaful, ar-rahnu, sukuk dan pelbagai lagi produk pembiayaan yang lain bagi memudahkan urusan kewangan kita.