Dropship: Isu dan Solusi daripada Sudut Pandang Shariah

15 June 2023 by Sharlife

Definisi Dropship

Dropshipping adalah satu bentuk perniagaan dimana reseller/dropshipper tidak memiliki aset atau stok yang dijual. Reseller atau dropshipper ini hanya akan mempromosikan barang yang dijual oleh pihak lain dan mendapat keuntungan dalam bentuk komisen hasil daripada jualan yang berjaya dilakukan.

Dropshipper hanya perlu mempromosikan produk jualan, mengambil order daripada pelanggan dan memaklumkan kepada pihak penjual atau pemborong yang membekal barang atau aset tersebut. Seterusnya pihak penjual yang akan melakukan pos aset atau barang tersebut kepada pembeli.

Isu

Seperti yang telah kami maklumkan pada artikel sebelum ini bahawa, menurut mazhab Syafie terdapat LIMA syarat ke atas barang yang diniagakan yang harus dipatuhi agar jual beli tersebut sah pada syarak:

  • Barang atau aset tersebut mestilah suci.
  • Barang atau aset tersebut boleh diambil manfaat dengannya.
  • Barang atau aset tersebut boleh diserahkan.
  • Barang atau aset tersebut dimiliki oleh mereka yang berakad.
  • Barang atau aset tersebut pernah dilihat.

Di dalam konteks perbincangan dropship, isu yang timbul adalah berkait dengan syarat yang keempat yang disebutkan di atas, iaitu bilamana barang yang diniagakan itu bukanlah milik dropshipper. Barang yang diniagakan sepatutnya adalah hak milik orang yang berakad. Namun di dalam isu ni, akad berlaku di antara dropshipper dan pembeli, bukan di antara pembeli dan penjual asal.

Tambahan lagi, bilamana seseorang dropshipper itu tidak memiliki atau memegang aset tersebut, maka dia tidak memiliki sebarang liabiliti atau risiko. Maka ini menyalahi kaedah fiqhiyyah yang menyatakan bahawa:

Keuntungan itu mengiringi risiko yang perlu diambil.

Atau mudahnya, No pain, no gain atau No risk, no reward. Maka ketiadaan risiko di dalam dropship juga berpotensi mendatangkan isu Shariah.

Solusi

Menurut Dr. Abdul Bari Mashal (Ahli Lembaga Tadbir Urus dan Etika AAOIFI), beliau ada kongsikan 3 jalan bagaimana dropship ini boleh menjadi urus niaga yang sah:

1.  Dengan cara memegang dulu aset, kemudian barulah menjualnya. Mungkin kaedah ini selari dengan konsep yang kita (di Malaysia) gelar sebagai stockist.

2.  Dengan cara menyewa sebuah storage room yang dimiliki oleh penjual asal. Maka barang atau aset tersebut perlu masuk ke dalam storage room tersebut terlebih dahulu sebelum dipos kepada pembeli.

3.   Menggunakan kontrak wakalah. Maka bebas samada agen atau penjual hendak menetapkan harga kepada dropshipper atau dropshipper sendiri menentukan wakalah fee tersebut sebagai keuntungan baginya. Yang utamanya adalah kedua dua pihak (penjual dan dropshipper) bersetuju dengan nilai wakalah fee tersebut. Adapun daripada sudut pandang pembeli, tidak menjadi suatu kewajiban atau kemestian untuk pembeli mengetahui wakalah fee tersebut.

Berdasarkan tiga kaedah ini, dapat kita katakan cara yang ketiga itulah yang banyak digunakan dan sesuai diaplikasikan pada masa kini.

Perkara lain yang perlu dititik beratkan juga adalah barang atau aset tersebut juga mestilah barang atau asset yang halal dan dibenarkan syarak. Ianya haruslah barang yang selamat digunakan dan bermanfaat yang tidak memudharatkan pengguna.

Kesimpulan

Ringkasnya, hukum dropship adalah harus sekiranya ianya dijalankan di atas kontrak dan kaedah yang mematuhi Shariah. Sama-sama kita usaha cakna tentang hukum hakam suatu transaksi atau jual beli sebelum melibatkan diri di dalamnya.