Elakkan Membeli Meme Coin

26 May 2023 by Sharlife

Baru-baru ini kita dihangatkan dengan kemunculan meme coins, antaranya ialah PEPE. Ramai pelabur-pelabur yang berjaya meraih keuntungan sehingga mencapai jutaan dollar. Namun, adakah coin/token mempunyai fundamental yang kuat sesuai dengan kenaikan harganya. Mari kita selidik sedikit sebanyak berkaitan meme coins, adakah ianya bertepatan dengan Prinsip Shariah. 

Apa itu Meme Coins?

Meme coins merujuk kepada coin/token yang dikaitkan dengan meme yang popular di dalam internet atau mengikut trend semasa. Ia sering kali dikeluarkan dalam bentuk meme komikal atau animasi dan dipromosikan oleh para pedagang dan peminat meme tersebut. Melabur di dalam meme coins boleh menjadi sesuatu yang menyeronokkan dan menarik di dalam industri kripto kerana ia memberikan peluang untuk berinteraksi dengan individu yang memiliki minat yang sama dan merasai keseronokan membuat pelaburan di dalam aset yang baru dan unik. 

Sudut pandang Shariah

Meme coins mempunyai risiko menyalahi prinsip Shariah. Token-token ini tidak mempunyai utiliti yang jelas dan tidak mempunyai kegunaan yang sebenar, menjadikannya berisiko untuk tidak memenuhi kriteria-kriteria Shariah. Salah satu prinsip utama di dalam Shariah adalah, hanya aset yang memiliki manfaat dan kegunaan yang sebenar yang boleh diperdagangkan.  Menurut mazhab Syafie, Imam Ibnu Roslan rahimahullah telah menyebutkan di dalam Matan Az-Zubad tentang syarat-syarat ini, antaranya:

  • Barang atau aset tersebut mestilah suci.
  • Barang atau aset tersebut boleh diambil manfaat dengannya.
  • Barang atau aset tersebut boleh diserahkan.
  • Barang atau aset tersebut dimiliki oleh mereka yang berakad.
  • Barang atau aset tersebut pernah dilihat.

Syarat-syarat ini perlulah dipenuhi bagi menjadikan jual beli tersebut sah. Maka salah satu daripada syarat-syarat yang disebutkan adalah aset atau barang tersebut mestilah bermanfaat. Secara umumnya, kita boleh ambil kaedah yang dinyatakan oleh Mufti Faraz Adam (Ketua firma penasihat syariah, Amanah Advisors) bahawa jika aset tersebut bermanfaat dan manfaatnya itu halal, maka ia mematuhi Shariah. Namun, jika sesuatu aset itu tidak memiliki kegunaan atau manfaatnya tidak Halal, maka ia menyalahi Prinsip Shariah. Disebabkan meme coins ini tidak mempunyai kegunaan dan manfaat yang jelas, maka kami cenderung untuk menganggap coin/token seperti itu sebagai bermasalah dan memiliki isu dari perspektif Shariah. Sebaiknya, pelaburan pada aset sebegini haruslah kita jauhi.

Menurut pandangan beliau lagi, Shariah tidak mengiktiraf aset yang tidak mempunyai kegunaan yang munasabah sebagai subjek yang sah dalam jual beli. Hikmahnya jelas, iaitu untuk mencegah orang menjual barang-barang yang tiada manfaat langsung dan tidak berguna sesuka hati kepada mereka yang naif dan mudah tertipu. Hal ini adalah bagi melindungi pengguna daripada penipuan dan penyalahgunaan. Antara matlamat Shariah itu sendiri adalah untuk menegakkan apa yang bermanfaat dan mencegah apa yang berbahaya.

Risiko-risiko melabur di meme coins

Pelaburan dalam meme coins mempunyai risiko yang sangat besar. Meme coins memiliki banyak kekurangan dalam aspek legitimasi seperti maklumat projek yang tidak jelas, organisasi yang meragukan, tiada pengawasan oleh pihak berkuasa, dan tiada produk yang betul-betul bermanfaat dalam blockchain.

Disebabkan oleh kebergantungannya kepada trend semasa, pergerakan harga meme coins bergantung kepada keupayaannya untuk kekal relevan dan hangat di pasaran. Tambahan pula, meme coins sering digambarkan sebagai skim 'pump-and-dump'.

Oleh itu, kami bimbang pelabur yang melabur dalam meme coins mungkin menjadi mangsa kepada aktiviti 'pump and dump'. Ini dapat meningkatkan risiko pasaran. Tidak terkecuali, ianya juga boleh jadi suatu penipuan dan skim ponzi.

Terdapat kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan bahawa:

"Menolak kemudaratan lebih utama daripada meraih manfaat."

Maka, sekalipun meme coins tersebut berpotensi mendatangkan keuntungan yang besar, namun terdapat juga kemungkinan untuk meraih kerugian yang besar atau menjadi mangsa kepada organised pump and dump atau ponzi.

Tambahan lagi, terdapat juga kejadian dimana seorang pelabur itu berjaya menghasilkan keuntungan daripada meme coins sehingga mencecah jutaan ringgit. Namun dia menghadapi kesukaran untuk mencairkan coin/token tersebut, dan antara puncanya adalah kerana dia tidak dapat menjual coin/token tersebut akibat daripada permintaan yang kurang di pasaran.

Kesimpulan

Ringkasnya, di Sharlife kami menganggap meme coins ini bermasalah dan memiliki isu dari perspektif Shariah dan legitimasinya. Tambahan lagi risiko juga tinggi, maka kami nasihatkan sebaiknya untuk menghindari pelaburan meme coins.