Endemik Rasuah

10 Februari 2022 by Sharlife

Isu rasuah kini sudah menjadi seperti endemik kepada negara. Rasuah telah dianggap satu norma atau budaya dalam kehidupan masyarakat Malaysia sama ada dalam sedar atau tidak sedar. Bahkan, Malaysia juga turut direkod berada pada kedudukan ke 62 daripada 180 buah negara pada tahun 2021, turun 5 anak tangga berbanding pada tahun 2020 di dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI). Penurunan ini menunjukkan peningkatan aktiviti rasuah di dalam negara kerana semakin rendah kedudukan sesebuah negara (tempat pertama dan seterusnya), semakin kurang aktiviti rasuah yang berlaku dalam sesebuah negara tersebut. Ini telah memberikan persepsi negatif negara luar terhadap Malaysia.

Indeks Persepsi Rasuah (CPI)

Indeks Persepsi Rasuah (CPI) adalah carta yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI), sebuah gerakan global yang bekerja di lebih 100 buah negara untuk menamatkan ketidakadilan rasuah. Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menyenaraikan 180 negara dan wilayah mengikut tahap persepsi mereka tentang rasuah di sektor awam, menurut pakar dan ahli perniagaan.

Transparency International (TI), mentakrifkan rasuah sebagai penyalahgunaan kuasa yang diamanahkan untuk kepentingan peribadi. Rasuah menghakis kepercayaan, melemahkan demokrasi, merencatkan pembangunan ekonomi dan seterusnya memburukkan lagi ketidaksamaan, kemiskinan, perpecahan sosial dan krisis alam sekitar.

Rasuah juga boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan boleh termasuk tingkah laku seperti:

  • Penjawat awam menuntut atau mengambil wang atau bantuan sebagai pertukaran untuk perkhidmatan.
  • Ahli politik menyalahgunakan wang awam atau memberikan pekerjaan awam atau kontrak kepada penaja, rakan dan keluarga mereka.
  • Syarikat memberi rasuah kepada pegawai atasan untuk mendapatkan tawaran yang menguntungkan.

Dalil Pengharaman Rasuah

Pengharaman rasuah telah jelas disebut dalam Surah Al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu memakan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) antara kamu dengan jalan yang batil (salah), dan (janganlah) kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada para hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)."

Ulasan Dr. Mohd Daud Bakar

Pada pandangan beliau, hukuman kesalahan rasuah dan ketidakjujuran dalam kewangan terserah kepada ijtihad negara pada sesuatu masa berdasarkan impak kesalahan tersebut pada sesuatu masa. Ia mungkin lebih serius dan berat daripada hukuman hudud. Malah, kalau rasuah sudah berleluasa, sistem keadilan semuanya sudah terpalit dan koyak.

Dr. Mohd Daud Bakar turut mengklasifikasi rasuah dan ketidakjujuran dalam kewangan sebagai jenayah ke atas negara sama seperti pemberontakan dan pengkhianatan kepada negara (treason). Ini adalah kerana kesan dan impaknya adalah menyeluruh kepada sistem negara, sistemik, pervasive dan juga tidak boleh dipulihkan kembali (irreversible) seperti mana jenayah pemberontakan dan pengkhianatan.

Beliau juga berpendapat supaya menjadikan pengharaman rasuah di dalam aspek maqasid penjagaan harta (atau penjagaan kehidupan kerana kesannya bukan sahaja kepada harta tetapi kepada sistem kehidupan). Tambahan, beliau juga melihat rasuah dan ketidakjujuran dalam kewangan ini sebagai jenayah Islam sama seperti mencuri, merompak, berzina, minum arak dan sebagainya.

Kesimpulan

Rasuah menghancurkan sesebuah negara. Ia mewujudkan isu seperti kemelesetan ekonomi dan mengabaikan kepentingan masyarakat. Menolak kerosakan yang akan timbul daripada aktiviti rasuah juga sebahagian daripada Maqasid Shariah. Oleh itu, perlunya kerjasama antara kerajaan, masyarakat dan dunia dalam usaha untuk membanteras dan memerangi gejala rasuah ini. Jauhilah rasuah sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bersabda:

"Laknat Allah atas orang yang memberi rasuah dan orang yang menerimanya."