Securities Commission Malaysia

Sharlife is a Registered Shariah Advisory Firm with Securities Commission Malaysia - The only regulated provider of crypto & stocks Shariah status

iRCPS: Saham Patuh Syariah atau Umpan Pelaburan? Fahami Risiko & Realitinya

14 May 2025 by Sharlife

 

Baru-baru ini, timbul isu melibatkan seorang ikon Islamik yang dikaitkan dengan skim pelaburan patuh syariah berasaskan iRCPS. Tawaran skim pelaburan tersebut telah menyebabkan ramai pelabur dilaporkan mengalami kerugian besar. Skim ini memperkenalkan instrumen pelaburan yang digelar Islamic Redeemable Convertible Preference Shares (iRCPS). Persoalannya, adakah ia benar-benar patuh syariah atau sebenarnya hanya satu perangkap yang dilabelkan dengan istilah Islamik?

Apakah itu Redeemable Convertible Preference Shares (iRCPS)?

Redeemable Convertible Preference Shares (iRCPS) atau Islamic Redeemable Preference Shares (RPS-i) merujuk kepada produk yang sama. Kedua-duanya merupakan instrumen hibrid yang menggabungkan dua ciri utama, iaitu ekuiti dan hutang, dengan mengikuti penstrukturan berasaskan prinsip syariah, khususnya berkaitan larangan riba, perkongsian risiko, dan penggunaan hasil dana secara patuh syariah.

iRCPS ialah sejenis saham keutamaan yang mewakili bentuk pemilikan dalam sesebuah syarikat. Di Malaysia, iRCPS dikawal selia di bawah Akta Syarikat 2016, yang membenarkan syarikat dengan modal saham untuk menerbitkan saham keutamaan — termasuk iRCPS — selagi ia diperuntukkan dalam perlembagaan syarikat.

Pelabur yang membeli iRCPS berhak menerima dividen pada kadar yang telah ditetapkan semasa penerbitan kontrak, bergantung kepada keuntungan syarikat. Antara kelebihan Pemegang iRCPS adalah menerima pembayaran dividen terlebih dahulu sebelum pemegang saham biasa.

Namun, iRCPS juga merupakan sekuriti boleh tebus (redeemable security), yang bermaksud syarikat penerbit mempunyai opsyen untuk menebus kembali saham tersebut daripada pemegangnya pada harga tertentu yang telah ditentukan lebih awal. Oleh itu, skim pelaburan iRCPS merupakan skim pelaburan gabungan di antara ekuiti dan hutang.

Ciri-ciri Utama Redeemable Convertible Preference Shares (iRCPS)

  1. Dividen:
    Pemegang iRCPS menerima dividen pada kadar yang ditetapkan dan didahulukan berbanding pemegang saham biasa. Dividen diagihkan berdasarkan keuntungan syarikat dan bukan berdasarkan faedah tetap, selaras dengan prinsip syariah di mana syarikat dan pelabur berkongsi risiko dan pulangan.

  2. Redeemable (Boleh Tebus):
    Syarikat mempunyai hak untuk membeli semula iRCPS pada harga yang dipersetujui selepas tempoh tertentu. Ini memberi fleksibiliti dalam pengurusan modal syarikat.

  3. Convertible (Boleh Tukar):
    Pemegang iRCPS boleh menukar saham ini kepada saham biasa pada kadar penukaran yang ditetapkan, sekaligus membuka potensi untuk mendapat manfaat daripada kenaikan nilai saham biasa pada masa hadapan.

  4. Prinsip Syariah:

    • Menekankan perkongsian risiko antara pemegang iRCPS dan syarikat.

    • Dividen hanya diagihkan apabila syarikat memperoleh keuntungan.

    • Sekiranya syarikat rugi, pemegang iRCPS mungkin tidak menerima dividen.

    • Tiada unsur gharar (ketidaktentuan) dan maysir (perjudian) dalam struktur penebusan dan penukaran.

Struktur Penukaran

Penukaran iRCPS kepada saham biasa boleh berlaku dalam dua bentuk:

  • Fixed to Variable: Nilai asal pelaburan ditukar kepada nilai pasaran saham biasa pada masa penukaran, memberi pelabur potensi pulangan pasaran dan perlindungan modal secara tidak langsung.

  • Fixed to Fixed: Jumlah saham biasa yang diterima telah ditetapkan, tetapi nilainya mungkin berubah berdasarkan harga pasaran semasa penukaran. Ini boleh membawa kepada keuntungan atau kerugian modal.

Penggunaan Dana

Dana yang diperoleh melalui penerbitan iRCPS mesti digunakan untuk tujuan yang patuh syariah, seperti pembiayaan aset produktif. Dana tidak boleh digunakan untuk aktiviti haram seperti pengeluaran arak, perjudian, atau perniagaan tidak patuh syariah yang lain.

Risiko Pelaburan dalam iRCPS

Walaupun iRCPS mempunyai ciri-ciri yang menarik dan selaras dengan prinsip syariah, ia juga melibatkan risiko tertentu yang perlu diuruskan dengan cermat, termasuk:

  • Risiko keuntungan syarikat yang tidak menentu.
  • Ketidakpastian dalam nilai pasaran sekiranya ditukar kepada saham biasa.
  • Risiko tidak ditebus oleh syarikat sekiranya tiada keupayaan kewangan.

Risiko Penukaran (Convertible)

Ciri penukaran memberikan hak kepada pemegang iRCPS untuk menukar pegangan saham keutamaan mereka kepada saham biasa, selalunya pada kadar yang menguntungkan. Namun, ia turut membawa risiko kerugian sekiranya prestasi kewangan syarikat merosot. Ini kerana nilai pasaran saham biasa mungkin menurun, sekali gus menjejaskan nilai iRCPS selepas penukaran dilakukan.

Risiko Penebusan (Redeemable)

iRCPS memberikan hak kepada syarikat penerbit untuk menebus semula saham tersebut pada harga dan tarikh yang telah dipersetujui. Sekiranya syarikat menghadapi masalah kecairan, ia mungkin menangguhkan atau gagal melaksanakan penebusan, sekali gus meninggalkan pelabur dengan pilihan tindakan yang terhad.

Semua penebusan mesti mematuhi Seksyen 72 Akta Syarikat 2016, yang menetapkan bahawa penebusan hanya boleh dibuat dengan menggunakan:

  • Keuntungan boleh edarkan (distributable profits),

  • Hasil terbitan saham baharu, atau

  • Modal syarikat, selepas melepasi ujian solvensi (solvency test).

Penebusan hanya sah jika syarikat masih mampu memenuhi semua obligasi kewangan selepas penebusan dilakukan.

Risiko Keutamaan dalam Pembubaran (Liquidation)

Dalam keadaan syarikat dibubarkan, pemegang iRCPS mempunyai keutamaan pembayaran lebih tinggi berbanding pemegang saham biasa. Namun, keutamaan mereka adalah selepas tuntutan daripada pemiutang seperti:

  • Pemiutang bercagar (secured creditors),

  • Pemiutang tidak bercagar (unsecured creditors),

  • Lembaga Hasil Dalam Negeri,

  • Pekerja yang masih belum dibayar gaji, dan lain-lain.

Keutamaan ini tertakluk kepada terma yang telah dinyatakan dalam kontrak pelaburan. Oleh itu, wujud istilah undang-undang "liquidation preference", yang bertindak sebagai mekanisme perlindungan kepada pelabur dalam usaha mendapatkan semula modal asal sekiranya syarikat muflis.

Sekiranya syarikat masih mempunyai lebihan aset atau keuntungan selepas semua hutang diselesaikan, pelabur iRCPS yang mempunyai "participation rights" berhak untuk berkongsi lebihan tersebut. Jika tiada hak tersebut, pelabur hanya akan menerima bayaran berdasarkan keutamaan pembubaran (liquidation preference) sahaja.

Oleh itu, terma dan syarat yang dinyatakan dalam perlembagaan syarikat amat penting kerana ia boleh membawa maksud yang berbeza dalam situasi tertentu dan boleh menimbulkan isu teknikal yang kompleks pada masa hadapan.

Adakah Syarikat Penerbit iRCPS Tidak Memerlukan Lesen daripada SC?

Syarikat yang ingin menerbitkan iRCPS tidak memerlukan lesen khas daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC), namun mereka tetap tertakluk kepada keperluan pendedahan dan kelulusan tertentu, bergantung kepada kaedah penerbitan. Berikut ialah dua kaedah penawaran iRCPS yang lazim:

1. Tawaran kepada Orang Ramai (Public Offering):

  • Permohonan perlu dikemukakan kepada SC di bawah Guidelines on Offering of Islamic Securities.

  • SC akan menyemak dokumen, termasuk prospektus, dan memberikan kelulusan atau notifikasi penerimaan.

  • Mungkin memerlukan penarafan kredit (rating) dan pengesahan pematuhan Syariah.

2. Penempatan Tertutup (Private Placement):

  • Masih tertakluk kepada Seksyen 212 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

  • Penerbit perlu memaklumkan kepada SC melalui notis dan mematuhi Guidelines on Unlisted Capital Market Products under the Lodge and Launch Framework (LOLA).

  • Dalam kes ini, syarikat hanya perlu “lodge” (mengemukakan) dokumen tanpa perlu mendapatkan kelulusan formal — namun, ia dianggap dimaklumkan secara rasmi kepada SC.

Adakah Saham Pelabur iRCPS Dipegang oleh Penama dan SPV?

Berdasarkan Akta Syarikat 2016, syarikat sendirian berhad (Sdn. Bhd.) mempunyai pegangan saham yang terhad iaitu maximum sebanyak 50 sahaja. Ini berbeza dengan syarikat awam berhad (Bhd) yang mana mempunyai bilangan pegangan saham yang tidak terhad.

Oleh itu, dalam pelaburan melalui Equity Crowdfunding (ECF), platform ECF biasanya akan menubuhkan sebuah entiti khas yang dikenali sebagai Special Purpose Vehicle (SPV) untuk bertindak sebagai penama (nominee) bagi memegang saham bagi pihak semua pelabur runcit. Tujuan utama penubuhan SPV ini adalah bagi memastikan bilangan pemegang saham dalam syarikat penerbit kekal di bawah had yang ditetapkan dan mendapatkan lebih ramai pelabur.

Selain itu, penggunaan SPV turut memudahkan urusan pentadbiran dan membuat keputusan. Sekiranya syarikat memerlukan persetujuan (resolusi) daripada semua pelabur kecil, proses tersebut boleh menjadi rumit dan memakan masa. Dengan adanya SPV, hanya satu entiti (iaitu SPV) perlu berurusan dengan syarikat penerbit, sekali gus mempercepat dan menyelaraskan proses keputusan.

Bagi melindungi hak pelabur, perjanjian penama atau surat ikatan amanah akan dimeterai antara SPV dan para pelabur. Dokumen ini memperjelas bahawa SPV hanya bertindak sebagai pemegang amanah (trustee) dan tidak mempunyai hak milik sebenar ke atas saham tersebut. Sekiranya berlaku agihan dividen atau penjualan saham, SPV bertanggungjawab menyerahkan hasil tersebut kepada pelabur sebenar mengikut bahagian masing-masing.

Bagaimana Skim Ponzi dalam iRCPS Boleh Berlaku?

Walaupun iRCPS adalah instrumen pelaburan yang sah, skim Ponzi boleh berlaku jika ia disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Berikut adalah ciri-ciri penipuan dalam penawaran iRCPS:

  • Menawarkan pulangan tetap yang tidak munasabah atau terlalu tinggi.

  • Tiada aktiviti perniagaan sebenar yang dijalankan oleh syarikat penerbit.

  • Penerbitan iRCPS dilakukan secara berterusan tanpa had dan tanpa alasan kukuh.

  • Tiada pendedahan maklumat kewangan yang sah atau telus kepada pelabur.

  • Tiada pendaftaran atau pematuhan kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan garis panduan seperti LOLA (Lodge and Launch Framework).

Dalam skim sebegini, dividen yang dibayar kepada pelabur awal biasanya datang daripada wang pelabur baharu, bukan daripada keuntungan sebenar perniagaan. Taktik ini digunakan bagi mewujudkan ilusi keuntungan yang stabil untuk menarik lebih ramai pelabur.

Oleh itu, pelabur perlu berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan janji pulangan tinggi. Sentiasa pastikan syarikat penerbit berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan mematuhi semua keperluan kawal selia. Sekiranya syarikat tersebut tidak berdaftar, pelabur tidak akan mendapat perlindungan undang-undang, dan risiko kehilangan keseluruhan modal pelaburan adalah tinggi.

Adakah iRCPS Sesuai untuk Dilaburkan?

iRCPS (Islamic Redeemable Convertible Preference Shares) bukanlah instrumen pelaburan yang sesuai bagi mereka yang bermodal kecil. Walaupun ada yang ditawarkan secara terbuka, harga per saham kebiasaannya sangat tinggi. Bagi penawaran secara private placement, hanya pelabur tertentu sahaja yang layak menyertainya—seperti institusi kewangan, pengendali takaful, individu berpendapatan tinggi (bernilai bersih melebihi RM3 juta), dan pengarah syarikat penerbit. Hal ini adalah selaras dengan Guidelines on Unlisted Capital Market Products yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Pelaburan dalam iRCPS juga mengandungi tahap risiko yang tinggi, terutamanya apabila melibatkan syarikat swasta yang tidak tersenarai di bursa. Walaupun syarikat tersebut tidak mengalami kerugian, iRCPS boleh menjadi perangkap kewangan kerana ia sukar untuk dijual semula (illiquid) disebabkan tiada pasaran sekunder yang aktif untuk membelinya daripada anda.

Bagi pelabur yang mempertimbangkan pelaburan melalui Equity Crowdfunding (ECF), penting untuk memahami perbezaan antara pelaburan ekuiti dan pelaburan berasaskan hutang. Tambahan pula, ciri "redeemable" dalam iRCPS tidak menjamin pemulangan modal kerana ia bukan instrumen deposit tetap yang dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).

Memahami setiap terma dalam perjanjian pelaburan juga sangat penting. Kegagalan membaca dan memahami kontrak boleh menyebabkan pelabur terjerat, terutamanya jika terdapat klausa yang dimanipulasi oleh syarikat penerbit untuk kepentingan mereka sendiri.

Kesimpulan

Pelaburan dalam iRCPS hanyalah bersifat kontraktual, walaupun ia menawarkan hak untuk menerima dividen syarikat. Namun, ia tidak memberi jaminan terhadap pemilikan mutlak seperti saham biasa. Lebih penting, iRCPS hanya sesuai untuk golongan pelabur berkelayakan (sophisticated investors), khususnya dalam penawaran secara tertutup (private placement).

Bagi pelabur yang kurang berpengalaman, pastikan anda meneliti setiap butiran pelaburan dengan teliti dan fahami sepenuhnya risiko yang terlibat. Seperti kata Warren Buffet:

"Don’t invest in something you don’t understand."
("Jangan melabur dalam sesuatu yang anda tidak fahami.")

Tiada siapa yang memaksa anda untuk membuat keputusan pelaburan. Dapatkan nasihat daripada penasihat kewangan atau pakar pelaburan jika anda tidak pasti. Pelaburan iRCPS bukan untuk semua orang. Walaupun ia disusun mengikut prinsip syariah, pelaksanaannya masih boleh dimanipulasi sekiranya pengawalseliaan lemah.

Baca setiap dokumen pelaburan dengan teliti. Tanya soalan. Jika ragu-ragu – elakkan.

 

References:

https://theedgemalaysia.com/article/know-redeemable-convertible-preference-shares-devil-details
https://www.linkedin.com/feed/update/urn:li:activity:7256489334910943232/
https://www.ibusinesscap.com.my/islamic-redeemable-preference-shares/
https://www.sc.com.my/api/documentms/download.ashx?id=5bded761-bf84-44cc-b1ea-19a61dbe06ff

https://www.sc.com.my/api/documentms/download.ashx?id=5bded761-bf84-44cc-b1ea-19a61dbe06ff