Kenapa Organized Pump and Dump Haram?

1 Jun 2023 by Sharlife

Apa itu pump and dump

Pump and Dump merupakan aktiviti yang menyalahi undang-undang dan haram dilakukan oleh seseorang individu atau sekumpulan pelabur. Di Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah mengeluarkan amaran kepada pelabur-pelabur yang menyalah gunakan platform media sosial untuk menyebarkan maklumat palsu mengenai syarikat-syarikat tertentu untuk melaksanakan kegiatan 'pump and dump'

Kebiasaannya pump and dump bertujuan menaikkan harga saham atau sesuatu aset melalui rekomendasi yang palsu. Rekomendasi atau galakan ini berdasarkan kenyataan palsu yang disebarkan. Mereka yang melakukan kegiatan pump and dump ini sudah mempunyai kedudukan yang baik di dalam saham syarikat dan akan menjual saham-saham tersebut setelah harga saham tersebut berjaya dinaikkan hasil daripada penipuan dan manipulasi mereka.

Aktiviti ini juga turut berlaku di dalam dunia pelaburan kripto, di mana sekelompok orang yang bekerjasama untuk meningkatkan nilai suatu coin. Mereka akan membeli coin pada awalnya dan menjualnya setelah mendapat cukup perhatian dari para pelabur.

Sudut Pandang Shariah

Industri kripto sangat terdedah terhadap manipulasi dan aktiviti penipuan disebabkan oleh tiada regulasi yang ketat. Salah satu bentuk manipulasi yang berlaku adalah pump and dump. Biasanya, coin yang mempunyai market cap yang rendah yang menjadi sasaran. Aktiviti ini semakin mudah dilakukan dengan adanya platform media sosial. Dengan mencipta kenaikan harga secara mengejut, pelabur-pelabur baru kebiasaannya mudah terpedaya untuk membeli aset tersebut dengan harapan untuk mendapatkan keuntungan dalam masa yang singkat.

Antara unsur haram yang wujud di dalam aktiviti pump and dump ini adalah ihtikar. Kami bersependapat dengan Mufti Wilayah Persekutuan Persekutuan (Malaysia)  berkaitan ihtikar. Menurut Imam al-Syairazi, monopoli barang (al-ihtikar) adalah apabila seseorang itu membeli barang ketika harganya tinggi dan menahannya dengan tujuan meningkatkan harganya.

Dua faktor naik turun harga yang berkaitan dengan perbincangan ini ialah at-tullah (jumlah peminat) dan kekuatan permintaan. Apabila terdapat peningkatan jumlah orang yang ingin memperoleh suatu barang, harga barang tersebut cenderung meningkat. Sebaliknya, jika permintaan terhadap barang tersebut rendah, harga barang cenderung turun. Dalam konteks permintaan yang besar, harga akan naik, sedangkan dalam konteks permintaan yang kecil dan lemah, harga akan turun. Hal ini merupakan konsep asas di dalam ekonomi. 

Namun, di dalam konteks perbincangan “pump and dump” ini, naik dan turun harga tersebut berlaku hasil daripada demand dan pembelian oleh mereka yang terpedaya dan tertipu dengan media dan hebahan yang dilakukan oleh individu atau sekumpulan pelabur yang tidak bertanggungjawab yang cuba memanipulasi harga pasaran.

Maka, disebabkan oleh kewujudan unsur penipuan dan manipulasi di dalam pelaburan, hal ini berpotensi memudaharatkan para pelabur lain. Oleh itu, hukum organized pump and dump ini adalah haram dan menyalahi Shariah. Hal ini selari dengan kaedah fiqhiyyah:

“Tidak ada sebarang mudharat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudharatan.”

Maka jelas disini bahawa Islam melarang dan tidak mempromosikan sebarang bentuk kemudharatan.

Kesimpulan

Secara ringkasnya, kita dapat lihat dengan jelas mengapa “organized pump and dump” ini adalah satu aktiviti yang bukan sahaja haram, bahkan tidak beretika dan menyalahi moral kemanusiaan. Maka, menjadi tanggungjawab kita sebagai Muslim untuk menjauhinya dan tidak melibatkan diri di dalam aktiviti ini sekalipun ianya berpostensi mendatangkan keuntungan yang sangat besar. Disamping itu, kami juga  menasihatkan agar pelabur-pelabur diluar sana untuk lebih berhati-hati dan sentiasa melakukan due diligence terhadap apa jua jenis pelaburan.