Kripto dan Blockchain pada Perspektif Syariah

5 November 2021 by Sharlife

Dunia kini menyaksikan keterujaan manusia tentang sebuah teknologi iaitu Blockchain dan Bitcoin yang telah berusia lebih 13 tahun. Setiap individu yang terlibat secara langsung atau tidak dalam industri ini bercakap berkenaan Blockhain dan impaknya terhadap sistem kewangan dunia. Manakan manusia tidak teruja, ramai yang mencetak duit melalui dagangan kripto dan tidak kurang juga ada yang mengambil inisiatif untuk menambah baik sistem Blockchain untuk diaplikasikan ke dalam sistem sedia ada. Persoalannya, sebagai muslim, adakah kita dibenarkan untuk terlibat dalam aktiviti perdagangan kripto dan menggunakannya dalam transaksi harian? Halalkah?

Apa itu Matawang Kripto dan Blockchain?

Matawang Kripto ialah aset digital yang mempunyai ciri encryption untuk mengelakkan pemalsuan dan perbelanjaan yang berulang. Bahasa mudahnya, ciri encryption yang terdapat pada matawang kripto ini menggunakan sebuah sistem keselamatan yang ketat. Hampir kesemua matawang Kripto dibina di atas teknologi Blockchain yang mana dapat memberikan sistem keselamatan yang baik, yang lebih telus dan juga tidak berpusat pada mana-mana individu atau kelompok. Blockchain pula ialah sebuah sistem yang berkebolehan menyimpan transaksi harian matawang kripto kedalam lejar dengan kaedah yang sangat rumit. Ini adalah untuk memastikan segala aktiviti atau transaksi selamat daripada godaman dan pemalsuan.

Matawang Kripto sebagai Matawang

Matawang Kripto boleh dikategorikan sebagai matawang sekiranya ianya memenuhi syarat-syarat atau kriteria Thaman. Menurut Imam Ahmad sesuatu itu dikenalpasti sebagai matawang apabila ianya diterima pakai oleh masyarakat. Sebagai contoh, wang fiat yang kita gunakan sekian lama diterima pakai oleh manusia diseluruh dunia bagi melakukan aktiviti muamalah. Setiap transaksi memerlukan wang fiat sebagai medium pertukaran untuk membeli dan menjual.

Syarat Thaman:

  1. Boleh dibelanjakan oleh pemilik
  2. Boleh digunakan sebagai penanda aras harga
  3. Medium pertukaran untuk membeli sesuatu

Matawang Kripto sebagai Aset

Bolehkah Matawang Kripto diklasifikasikan sebagai Aset? Aset menurut perspektif Islam boleh didefinisikan sebagai sesuatu yang berharga dan mempunyai nilai intrinsik atau disebut sebagai Mal Mutaqawwam. Ibn Abidin mendefinasikan Mal sebagai apa yang manusia secara nalurinya cenderung kepadanya dan boleh dimiliki olehnya seberapa lama ia mahu. Manakala Imam Shafie berpendapat bahawa Mal ialah sesuatu yang bernilai dan perlu dibayar ganti rugi  atau diganti apabila berlaku kerosakan padanya. Mal seringkali disebut didalam Al-Quran menunjukkan kepentingannya terhadap manusia. Diantaranya ada disebutkan dalam Surah An-Nisaa' ayat ke-29:

"Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Syarat Mal:

  1. Boleh digunakan dan bermanfaat untuk kegunaan harian
  2. Boleh dimiliki sekarang dan pada masa hadapan
  3. Wujud
  4. Sesuatu yang tidak bercanggah dengan hukum Islam dan Halal

Persolannya, adakah Matawang Kripto dikategorikan sebgai aset atau matawang?

Apa pandangan Mufti dan Ahli Akademik?

Sebahagian daripada Mufti dan Ahli Akademik dengan jelas menegaskan bahawa segala aktiviti matawang Kripto adalah Haram dan sebahagian mengharuskannya dengan syarat-syarat tertentu. Manakala ada juga yang tidak mahu mengulas atau berkecuali dalam isu ini sehingga teknologi ini benar-benar terbukti keberkesanannya.

Mufti Mesir-Dr. Shawki Ibrahim Abdel-Karim Allam

Dr. Shawki Ibrahim Abdel-Karim Allam dengan tegas berpendapat bahawa segala bentuk matawang digital atau Matawang Kripto adalah haram untuk didagangkan kerana risiko yang sangat tinggi. Ianya dikhuatiri terdedah kepada penipuan dan yang lebih teruk, dapat melemahkan matawang Mesir. Antara faktor lain pengharaman ini ialah tiada pihak berautoriti atau kerajaan yang memantau segala kegiatan didalam Blockchain menyebabkan ianya terdedah kepada penipuan, penggubahan wang haram dan segala aktiviti tidak beretika.

Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia-Dr. Mohd Daud Bakar

Dr. Mohd Daud Bakar berpendapat bahawa Matawang Kripto adalah dibenarkan untuk segala kegiatan ekonomi jika menepati etika dan Shariah Islam. Bagi Beliau, Matawang Kripto dan Blockchain adalah suatu teknologi yang sangat bermanfaat bagi masyarakat jika digunakan dengan betul. Beliau juga menentang pendapat yang menyatakan Matawang Kripto adalah sejenis matawang, bahkan ianya lebih daripada itu yang mana merangkumi pelbagai aspek didalamnya. Bitcoin khususnya dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh pihak berautoriti dalam menguruskan dana. Dengan ciri transparensi yang ada pada bitcoin, sebenarnya dapat mencegah aktiviti penggubahan matawang haram dan aktiviti lain yang tidak beretika. Sebagai contoh, sekiranya pembayaran zakat melalui bitcoin dibenarkan, segala transaksi dan perbelanjaan dapat dilihat oleh semua orang, membuktikan ianya disalurkan pada tempat yang betul atau tidak. Ciri pengagihan kuasa atau tidak berpusat membuatkan tiada pihak yang dapat memanipulasi lejar Bitcoin.  Secara tidak langsung ianya meningkatkan lagi kredibiliti pihak berautoriti.

Pengerusi Lembaga Majlis Shariah AAOIFI-Mufti Muhammad Taqi Usmani

Mufti Taqi Usmani apabila ditanya apakah pandangan tentang matawang kripto, beliau menyatakan kerisauan terhadap teknologi ini digunakan untuk memanipulasi pasaran didalam dagangan matawang kripto dan enggan memberi hukum buat masa ini. Namun, beliau sedia untuk mengkaji semula struktur matawang kripto apabila matawang tersebut disandarkan pada aset sebenar.

Bagaimana Matawang Kripto boleh mengubah Dunia

Kita sering digembar-gemburkan dengan keuntungan daripada dagangan kripto. Namun, fokus sebenar adalah pada teknologi itu sendiri yang berkemungkinan boleh menggantikan sistem kewangan yang sedia ada. Pernahkah kita mendengar tentang (DeFi) singkatan kepada Decentralized Finance yang ditawarkan oleh protocol-protokol tertentu? Sekiranya pernah, pasti anda akan teruja dengan kebolehan yang ditawarkan oleh sistem ini. Setelah sekian lama dunia kewangan kita dikawal oleh sistem bank, pasti ada kelemahan yang timbul dari sistem ini. Mereka yang menyediakan matawang, pinjaman, dan sekuriti untuk memudahkan urusan seharian manusia. Namun sistem ini juga terbuka pada kesilapan, adakalanya ia kesilapan disebabkan ketidakcekapan manusia, adakala ianya adalah kerana kerakusan manusia yang tamak dan menyebabkan korupsi berlaku. Ini kerana sistem sekarang diselia oleh satu pihak atau satu kelompok yang menyebabkan operasi tidak telus. Bagaimana jika sistem kita dikawal dan diperhatikan oleh semua orang? Hadirnya Blockchain dapat menyelesaikan masalah ini, yang dapat mengurangkan kesilapan kerana ketidakcekapan manusia dan korupsi. Dalam masa yang sama dapat meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos aktiviti kewangan kita.

Konklusi

Perbincangan ini tidak akan berakhir selagi matawang Kripto tidak terbukti keberkesanannya. Ahli Akademik dan para Mufti sudah cuba sedaya upaya mengkaji untuk mendapatkan solusi terbaik yang boleh diambil daripada teknologi ini. Justeru, sebagai Muslim yang baik, jadikanlah apa yang telah ditetapkan oleh para Mufti sebagai rujukan kita semua.

*Kami telah membuat analisa pendek untuk menetukan status Shariah sesuatu matawang Kripto sebagai rujukan pelabur. Semoga ianya bermanfaat. Allah lebih mengetahui.