Mekanisme Pembakaran Perjudian dalam Terra Classic: Adakah Ia Mempengaruhi Status Shariah?

21 Jun 2023 by Sharlife

Baru-baru ini, kita digemparkan menerusi laman twitter apabila sebuah projek, Terra Poker, yang di jalankan di rangkaian Terra Classic membuat pos yang menunjukkan sebanyak 363,800 LUNC telah pun dibakar ataupun untuk mudah difahami, projek Terra Poker telahpun mengeluarkan sejumlah besar LUNC daripada rangkaian Terra Classic. Umum mengetahui bahawa aktiviti poker ini adalah haram kerana mempunyai unsur maysir (perjudian).

Kami melihat Terra Classic (LUNC) sebagai projek yang patuh Shariah kerana tiada sebarang aktiviti atau produk atau projek yang menyalahi Shariah yang dilakukan langsung oleh pihak Terra Classic. Namun, persoalan timbul adakah permainan Terra Poker dan mekanisme pembakaran melalui permainan ini akan memberi impak dan kesan terhadap status Shariah Terra Classic (LUNC).

Sudut Pandang Shariah

Di dalam artikel ini, skop perbincangan Shariah akan difokuskan kepada perbincangan berkait projek Terra Poker itu sendiri dan proses mekanisme pembakaran yang digunakan di dalam Terra Classic.

Terra Poker

Terra Poker adalah permainan poker gaya Texas Hold'em P2E pertama di rangkaian Terra Blockchain. Kita maklum dengan pengharaman permainan poker ini kerana unsur perjudian yang terkandung didalamnya. Namun, pengharaman permainan ini tidak sepatutnya menjejaskan status Shariah Terra Blockchain dan Terra Classic (LUNC). Ini kerana, Terra Poker bukanlah sebuah projek yang dijalankan oleh Terra Classic sendiri, sebaliknya ianya adalah projek yang diusahakan oleh developer yang ada di dalam Terra Blockchain. Maka, kewujudan permainan Terra Poker ini tidak menjejaskan status Shariah Terra Classic (LUNC), melainkan Terra Poker itu sendiri adalah sebuah projek yang dijalankan oleh Terra Classic.

Mekanisme Pembakaran

Pembakaran atau burning adalah satu proses yang digunakan bilamana suatu digital aset itu dihilangkan dan tidak dapat digunakan lagi. Ianya menyebabkan jumlah supply bagi token tersebut berkurang. Adapun mekanisme pembakaran adalah kaedah-kaedah yang digunakan untuk menghilangkan token tersebut. Mekanisme yang digunakan ini juga perlu dianalisa dalam menentukan suatu projek kripto itu patuh Shariah atau sebaliknya.

Di dalam isu Terra Poker, ia telah menetapkan sebanyak 10% daripada yuran yang dikutip daripada permainan akan di bakar. Hal ini disokong oleh kebanyakan pengguna Terra Blockchain. Sekalipun begitu, Terra Poker ini bukanlah mekanisme pembakaran asal yang ditetapkan oleh pihak Terra Classic sendiri. Adapun mekanisme pembakaran yang asal yang dijalankan oleh Terra Classic adalah pembakaran dengan kadar tertentu yang berlaku secara automatik setiap kali berlakunya transaksi di dalam rangkaian Terra Classic.

Kesimpulan

Oleh itu, kewujudan projek Terra Poker dan hal keadaannya yang digunakan sebagai salah satu kaedah pembakaran token ini tidaklah menjejaskan status Shariah Terra Classic. Sepertimana firman Allah di dalam Surah Al-An'am, ayat 164, yang bermaksud:

[... Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa yang diusahakannya sahaja)…]

Maka, kami berpandangan bahawa tidaklah dihukumkan Terra Blockchain dan Terra Classic (LUNC) itu sebagai haram hanyasanya kerana kewujudan projek Terra Poker yang diusahakan oleh developer, dan bukanlah oleh pihak Terra Classic sendiri. Fungsinya yang turut digunakan sebagai mekanisme pembakaran juga tidak memberi kesan kepada status Shariah Terra Classic kerana ianya bukanlah mekanisme pembakaran asal yang diperkenalkan oleh Terra Classic sendiri, sebaliknya ianya adalah mekanisme pembakaran yang dilakukan oleh developer yang dipersetujui oleh sejumlah komuniti Terra Blockchain.