Mengapa Ar-Rahnu bertukar dari Qard kepada Tawarruq?

17 November 2021 by Sharlife

Pada mesyuarat ke-194 bertarikh 25 Jun 2019 dan mesyuarat ke-195 pada tarikh 31 Julai 2019, Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank Negara Malaysia (BNM) telah memutuskan bahawa struktur produk Ar-Rahnu melalui gabungan qard (pinjaman), rahn (cagaran), wadi`ah (simpanan) dan ujrah (yuran) yang ditawarkan oleh Institusi Kewangan Islam (IKI) di Malaysia tidak memenuhi keperluan Syariah seperti di dalam Dokumen Polisi Rahn.

Struktur Produk Ar-Rahnu dalam Qard

Qard merujuk kepada kontrak meminjamkan wang oleh pemberi pinjaman kepada peminjam di mana setelah itu peminjam terikat untuk membayar kembali kepada pemberi pinjaman jumlah gantian yang setara dengan pinjaman yang telah diberikan.

Manakala, rahn pula merujuk kepada kontrak di mana satu pihak sebagai rahin (pegadai) mencagarkan aset sebagai marhun (cagaran) kepada satu pihak yang lain iaitu murtahin (penerima gadaian) untuk menunaikan marhun bih (tanggungan atau kewajipan orang yang berwajib) terhutang kepada penerima gadaian jika berlaku peristiwa kemungkiran oleh pegadai atau orang yang bertanggungjawab tersebut.

Ar-rahnu dalam qard ialah gabungan antara dua akad tersebut termasuklah wadi`ah dan ujrah.

Proses Produk Ar-Rahnu dalam Qard

Proses pertama, pelanggan akan membawa aset seperti emasnya sebagai cagaran kepada IKI untuk penilaian. Seterusnya, IKI akan menawarkan pinjaman (qard) kepada pelanggan sebanyak 70% daripada nilai aset yang dicagarkan berdasarkan nilai pasaran dan keadaan emas tersebut. Pinjaman akan terus diberikan apabila pelanggan telah menandatangani dokumen perjanjian. Amaun pinjaman dan yuran simpanan yang dikenakan telah dinyatakan di dalam dokumen. Akhir sekali, pelanggan akan membayar semula jumlah pinjaman bersama dengan yuran simpanan emas berdasarkan terma dan syarat yang telah dipersetujui.

Produk Ar-Rahnu dalam Qard Menimbulkan Isu-isu Dilarang oleh Shariah

Kebergantungan dan pensyaratan di dalam kontrak pinjaman serta unsur-unsur cagaran, simpanan dan yuran dalam struktur produk telah menimbulkan isu qard jarra naf'an (iaitu pinjaman yang memberi manfaat kepada pemberi pinjaman) dan bai' wa salaf (gabungan kontrak jualan dengan pinjaman) yang dilarang dalam Shariah.

Setiap kontrak di dalam struktur Ar-Rahnu tidak akan berkuat kuasa tanpa kontrak yang lainnya. Sebagai contoh, pinjaman hanya akan diberikan jika pelanggan menyimpan emas mereka dengan IKI tersebut dan yuran simpanan yang dikenakan adalah berdasarkan nilai emas yang dicagarkan. Struktur sedemikian, di mana bayaran simpanan yang dikenakan berkait secara tidak langsung dengan pinjaman yang diberikan telah menimbulkan isu qard jarra naf'an.

Malahan, gabungan antara cagaran dan akad pinjaman di dalam struktur Ar-Rahnu untuk tujuan penjanaan keuntungan adalah tidak selaras dengan objektif kedua-dua akad (muqtada 'aqd), yang mana pertama adalah untuk dicagarkan, manakala yang kedua adalah untuk kebajikan.

Peraturan Baharu oleh MPS

Bagaimanapun, pada mesyuarat ke-198 dan ke-199 bertarikh 29 Oktober 2019 dan 26 November 2019, Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank Negara Malaysia telah membuat ketetapan baharu bahawa penstrukturan produk Ar-Rahnu berasaskan tawarruq dan rahn adalah dibenarkan dan tertakluk kepada beberapa syarat.

Mengapa Tawarruq?

Tawwaruq merujuk kepada instrumen kewangan di mana ia melibatkan dua peringkat transaksi. Pada mulanya, pembelian berlaku antara pembeli dan penjual asal sesuatu aset secara tertunda. Kemudian, pembeli pada jualan pertama akan menjual semula aset yang sama kepada pihak ketiga secara tunai dan lansung.

Berikutan ketidakbolehan struktur produk Ar-Rahnu sedia ada berasaskan qard dan rahn, BNM telah menerima cadangan daripada beberapa IKI untuk menawarkan produk Ar-Rahnu berasaskan tawarruq dan rahn. Tawarruq digunakan sebagai kontrak asas dalam struktur yang dicadangkan untuk mewujudkan keberhutangan antara pelanggan dan IKI. Kemudian, pelanggan akan mencagarkan emas kepada IKI sebagai cagaran sama seperti struktur Ar-Rahnu yang sedia ada. Walau bagaimanapun pelanggan tidak akan dikenakan caj simpanan kerana IKI akan menjana pendapatan daripada transaksi murabahah yang dilakukan dalam urusan tawarruq.

Murabahah ialah kontrak jualan yang mana peningkatan harga didedahkan kepada pembeli dan tawwaruq merupakan instrumen terbaik untuk menjana tunai secara langsung. Gabungan antara kedua kontrak ini adalah pilihan yang sesuai untuk diaplikasikan pada struktur produk Ar-Rahnu kerana iainya hanya melibatkan kontrak jual dan beli.

MPS juga telah membincangkan sama ada keuntungan yang dijana di dalam struktur Ar-Rahnu berasaskan tawarruq dan rahn adalah selaras dengan prinsip Shariah, dan keputusan MPS menyimpulkan bahawa menggabungkan kedua-dua kontrak ini tidak mengakibatkan pelanggaran prinsip Shariah seperti riba, tidak juga menimbulkan isu pinjaman yang memberi manfaat kepada pemberi pinjaman (qard jarra naf'an) dan isu gabungan akad pinjaman dan jual beli (bai' wa salaf) yang dilarang dalam Shariah.

Hasilnya, MPS memutuskan bahawa penggunaan kontrak tawarruq dan rahn untuk Ar-Rahnu adalah mengikut kehendak Shariah dan penggunaan cagaran dalam kontrak pembiayaan adalah dibenarkan untuk melindungi kepentingan pembiaya sekiranya berlaku situasi pelanggan tidak mampu membayar kepada pembiaya.

Kesimpulan

Kesimpulannya, penggunaan tawarruq dalam struktur produk Ar-Rahnu adalah pilihan yang terbaik untuk menggantikan produk Ar-Rahnu dalam qard yang sedia. Ini adalah kerana struktur mekanismanya yang lebih jelas dan teratur serta mengikut kehendak Shariah yang telah digariskan di dalam Dokumen Polisi Rahn.