Mengapa Leverage dan Margin Trading Dianggap Haram?

15 Jun 2023 by Sharlife

Leverage Trading

Leverage atau margin merujuk kepada pelaburan yang dilakukan dengan menggunakan wang pinjaman. Di dalam leverage trading atau margin trading ini, wang deposit yang digunakan sebagai cagaran juga berpotensi menjadi faktor penentu jumlah pinjaman yang bakal disalurkan kepada pelabur. 

Dengan menggunakan leverage, pelabur boleh meningkatkan peluang mereka untuk melabur dengan nilai yang lebih tinggi. Sebagai contoh, sekiranya ditawarkan nisbah leverage sebanyak 1:10, hal ini bermaksud hanya dengan  RM100, anda boleh melabur sebanyak  RM1, 000.

Sekalipun begitu, leverage trading merupakan pelaburan yang berisiko. Contohnya, jika anda menggunakan leverage trading untuk melabur, anda tidak hanya melipat gandakan keuntungan, tetapi kerugian juga akan berlipat kali ganda. Di dalam artikel ini, skop perbincangan adalah berfokus kepada hukum di dalam pinjaman itu sendiri. 

Sudut Pandang Shariah

Hukum asal pinjaman itu sendiri adalah harus. Bahkan, ianya adalah amalan yang mulia bilamana diberikan dengan niat untuk membantu dan memudahkan urusan sesama ummat Islam. Namun, pinjaman itu boleh jadi bercanggah dengan Shariah bilamana ianya diberikan untuk meraih keuntungan. Dalam kata lain, pinjaman ini boleh jadi menyalahi Shariah bilamana ia dijadikan sebagai suatu servis didalam suatu perniagaan. Maka, salah satu punca leverage itu boleh menjadi haram kerana ianya adalah perniagaan pinjaman yang dijalankan untuk meraih keuntungan ke atas pinjaman atau ringkasnya perniagaan berasaskan riba.

Terdapat empat syarat-syarat yang digariskan oleh Dr. Wahbah Al-Zuhailiy rahimahullah berkaitan syarat-syarat sah di dalam pinjaman atau aqd al-qardh di dalam kitabnya, Al-Fiqh Al-Islamiy wa Adillatuh:

  • Pinjaman harus dilakukan melalui akad atau ijab dan qabul yang sesuai.
  • Pemberi pinjaman dan penerima pinjaman haruslah didalam usia yang sesuai dan memiliki kemampuan mental yang baik.
  • Mazhab Hanafi ada meletakkan syarat ke atas barang yang diberi pinjam, ianya mestilah boleh ditukar ganti (fungible). Adapun jumhur berpendapat pinjaman boleh diberikan dalam apa apa bentuk aset atau barang yang ianya boleh diambil kira sebagai liabiliti kepada peminjam.
  • Jumlah yang dipinjamkan adalah jelas dan diketahui supaya pembayaran yang sama nilainya dapat dilakukan. Selain itu, barang yang dipinjamkan juga tidak boleh campuran dua jenis barang.

Isu yang timbul di dalam leverage trading adalah berkait rapat dengan syarat yang keempat. Sekalipun jumlah pinjaman adalah jelas, namun terdapat caj tambahan ke atas pinjaman itu yang menjadikannya riba. Seperti yang kami jelaskan di dalam artikel sebelum ini berkait Mengapa Online Forex Trading Dianggap Haram?, pertukaran barang ribawi mestilah memenuhi syarat taqabudh, tamatsul dan hulul. Sekiranya suatu pertukaran itu tidak memenuhi salah satu daripada syarat-syarat ini, maka ianya akan membawa kepada berlakunya riba al-yadd atau riba al fadhl atau riba an-nasiah.

Hal ini juga menjadi kebimbangan dalam isu leverage trading. Ianya berpunca kerana sudah menjadi satu kebiasaan di mana platform-platform pelaburan saham dan kripto menyediakan pinjaman untuk menjana keuntungan daripada riba. Hal ini menyalahi kaedah fiqhiyyah:

  1. Prinsip asal dalam semua kontrak adalah keadilan.
  2. Keuntungan itu seiring dengan risiko yang perlu diambil.

Bilamana berlakunya caj ke atas pinjaman, maka ianya adalah satu penindasan ke atas peminjam, dan bilamana pemberi pinjaman mendapatkan keuntungan tersebut dalam hal keadaan dia bebas daripada sebarang risiko, maka ianya juga menyalahi Shariah berdasarkan dua kaedah di atas.

Kesimpulan

Kami menganggap fungsi leverage di kebanyakan platform pelaburan adalah tidak patuh Shariah. Namun, disana ada banyak inovasi-inovasi baru daripada pakar-pakar kewangan Islam yang berusaha menyediakan produk leverage patuh Shariah. Bahkan, ada juga yang mendapat pengesahan daripada badan-badan Shariah berautoriti. Akhir kata, kami tetap menasihatkan pelabur-pelabur untuk menjauhi segala produk leverage sebagai langkah berjaga-jaga.