Mengapa Online Forex Trading Dianggap Haram?

14 Jun 2023 by Sharlife

Online Forex Trading berulang-ulang kali disebut secara jelas oleh majlis fatwa, pejabat mufti dan begitu juga ahli-ahli akademik akan pengharamannya. Namun, masih ada ramai lagi traders di luar sana yang gian aktif melabur dalam Online Forex Trading. Berbeza dengan forex exchange atau money exchanger yang hukumnya harus. Forex exchange yang merupakan aktiviti penukaran matawang, juga dikenali sebagai Bay Sarf, adalah harus hukumnya. Adapun, Online Forex Trading telah difatwakan HARAM, atas beberapa faktor yang akan dikongsikan dalam artikel ini.

Syarat- Syarat di dalam Bay Sarf

Terdapat EMPAT syarat-syarat umum yang mesti dipatuhi bagi kontrak pertukaran mata wang (Bay Sarf) iaitu:

  • Penerimaan oleh kedua-dua pihak yang berkontrak sebelum berpisah.
  • Kesamaan dalam kuantiti jika wang daripada jenis yang sama yang diperdagangkan.
  • Tiada khiyar syarat.
  • Tiada sebarang penangguhan.

Maka, sebarang aktiviti perdangangan atau pertukaran matawang terikat dengan syarat-syarat diatas. Pelanggaran terhadap syarat-syarat diatas boleh menjadikan aktiviti tersebut menyalahi Shariah.

Tambahan lagi, kerana matawang ini diambil kira juga sebagai barangan ribawi, maka penting juga untuk ia menepati TIGA syarat yang diletakkan ke atas pertukaran barang ribawi iaitu:

  • Taqabudh (Penyerahan barang secara lani).
  • Tamatsul (Kesamaan dalam kuantiti jika wang daripada jenis yang sama diperdagangkan).
  • Hulul (Penyerahan lisan secara lani/tiada syarat penangguhan).

Menyalahi setiap satu daripada syarat ini akan menjerumuskan seseorang itu ke dalam jenis-jenis riba yang berbeza. Tanpa taqabudh akan berlakunya riba al-yadd, tanpa tamatsul akan berlaku riba al-fadhl, dan tanpa hulul akan berlaku riba an-nasiiah.

Faktor-Faktor Online Forex Trading  Haram

Di sini kami kongsikan beberapa faktor yang telah disebutkan oleh badan-badan berautoriti mengenai punca dan faktor pengharaman Online Forex Trading. Faktor-faktornya adalah seperti berikut:

  1. Adanya unsur riba. Banyak perkara yang mengundang kepada adanya riba di dalam Online Forex Trading ini, antaranya adalah kerana adanya rollover interest. Rollover interest adalah satu caj yang dikenakan kepada pelabur yang membuka posisinya melebihi 24 jam. Hal ini kerana wang yang digunakan untuk pelaburan tersebut bersumberkan daripada hutang yang diberikan oleh pihak broker melalui kaedah pelaburan leverage dan margin. Maka, mengambil caj atau faedah atau sebarang manfaat daripada hutang adalah riba.
  2. Selain itu, ada juga leverage yang mengandungi unsur jual beli di dalam hutang. Gabungan antara hutang dan jual beli adalah suatu perkara yang jelas diharamkan di dalam Islam berdasarkan kepada hadis Nabi SAW:
    Tidak dihalalkan salaf (pinjaman) beserta jual beli.
  3. Serah milik (taqabudh) yang tidak jelas.
  4. Gharar kerana maklumat mengenai pengurus dan pengendali platform yang samar. Hal ini akan membawa kepada keraguan terhadap kesahihan transaksi yang dijalankan. Tambahan lagi, keadaan dimana broker-broker ini tidak kawal selia oleh mana-mana badan autoriti dan bebas daripada sebarang regulasi, membuatkan kita tidak mampu untuk memastikan transaksi-transaksi yang berlaku itu benar-benar berlaku atau tidak. Bahkan tiada jaminan keselamatan ke atas wang-wang yang dilaburkan. Boleh jadi ianya berlaku sepenuhnya dalam bentuk spekulasi tanpa sebarang emas atau matawang dalam transaksi tersebut.
  5. Kebiasaannya platform online forex trading yang disediakan oleh broker-broker ini menggunakan Contract for Difference (CFD) iaitu sebuah produk yang menyediakan transaksi pembelian posisi harga dalam sesuatu kontrak bersandarkan kepada nilai harga aset pendasar atau produk sebenar. Pembelian hanya berlaku ke atas harga suatu aset yang mana aset itu tidak dimiliki oleh broker tersebut. Sepertimana yang kita sedia maklum, antara syarat-syarat di dalam jual beli Islam, barang yang dijual beli mestilah dimiliki oleh mereka yang berakad. Maka, hal ini akan mendatangkan isu Shariah.

Kesimpulan

Sekalipun Forex Online Trading ini berpotensi menjadi sumber yang baik bagi membantu seseorang itu untuk menjana pendapatan lumayan, namun sebagai pelabur muslim, sumber rezeki yang halal adalah lebih utama bagi kita. Daripada hasil inilah, kita akan membeli makanan, pakaian dan segala keperluan diri dan keluarga. Maka, sangat penting untuk kita mencari pendapatan daripada sumber yang halal. Sama-sama kita hayati sabda baginda Nabi SAW bahawa:

Setiap daging yang tumbuh dari yang haram, maka nerakalah yang utama baginya.

Duit yang banyak tidak akan menjamin rasa cukup. Bagi mereka yang masih terlibat dalam aktiviti pelaburan ini, dinasihati untuk meninggalkan segala yang haram dan kembali mencari sumber pendapatan yang halal lagi berkat. Allah sentiasa menerima hambanya yang bertaubat dan jangan pernah berputus asa daripada rahmat Allah. Renungkanlah kata-kata Allah buat hambaNya dalam Al-Quran:

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Sematkanlah juga kata-kata pujangga oleh tokoh agamawan ke dalam diri kita:

Tidak ada sesuatu ibadah yang dilakukan oleh para ahli ibadah yang jauh lebih utama daripada meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.