NFT dari Sudut Pandang Syariah

14 Disember 2021 by Sharlife

Acap kali kita mendengar perbincangan mengenai matawang kripto dan teknologi blokchain yang sudah pun menjadi perhatian dalam beberapa tahun ini. Ia adalah petanda menunjukkan bahawa ekosistem blokchain telah diterima ramai, lihat sahaja pada pasaran modal matawang kripto yang saban hari meningkat naik. Pelbagai inovasi dan fungsi baharu sedang rancak dibangunkan dan diperkenalkan oleh ramai pembangun untuk menjadikan keseluruhan ekosistem ini berguna bagi kegunaan aktiviti kewangan seharian. Salah satu daripada inovasi unik tersebut ialah Non-Fungible Token atau NFT. Dalam artikel ini, kami akan menerangkan NFT secara ringkas dan bagaimana NFT itu berfungsi, kemudian sedikit ulasan dari perspektif syariah?

Apakah itu NFT?

NFT bermaksud Non-Fungible Token yang mewakili aset unik yang disimpan dalam rangkaian blockchain. Ia boleh didagangkan dan dimiliki tetapi tidak boleh ditiru. Untuk setiap satu unit unik NFT, hanya ada seorang pemilik dan ia boleh dimiliki hanya dalam satu dompet crypto. Pemilik NFT mempunyai hak pemilikan mutlak ke atas aset ini, dan dalam keadaan tertentu, pemilik boleh mendapat royalti pada jualan seterusnya. NFT wujud dalam pelbagai bentuk, ia boleh terdiri daripada imej, video, item permainan, muzik, tapak web, domain atau sebarang aset digital. Pada mulanya, tujuan utama NFT adalah untuk menunjukkan tanda sokongan kepada artis-artis pelukis dan memberikan galakan kepada mereka. Walau bagaimanapun, dengan perubahan yang pesat dalam sistem blockchain, ramai yang sedar akan potensi sebenar NFT dan menjadikan ia suatu platform untuk mengaut keuntungan. Bagi seorang Muslim, semestinya ia menimbulkan tanda tanya samaada ianya dibenarkan oleh syarak atau sebaliknya. Terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian sebelum kita berkecimpung dalam dunia NFT.

Perspektif Syariah

Sebelum kita pergi lebih jauh ke dalam perbincangan NFT, sebaiknya kita mengenali terlebih dahulu beberapa konsep harta dalam Islam. NFT secara umumnya boleh dikategorikan sebagai aset, tetapi adakah ia sama seperti aset lain yang biasa kita miliki? Para fuqaha terdahulu telah pun membincangkan berkenaan konsep dan kegunaan harta serta beberapa pecahannya. Secara umumnya terdapat banyak kategori dan jenis harta yang telah digariskan oleh para fuqaha, tetapi dalam edisi ini, kami memfokuskan kepada jenis harta berdasarkan utiliti dan penggunaan sahaja.

Mal Al-Mithliy

Mal Al-Mithliy ialah sejenis aset yang mempunyai persamaan spesifikasi, nilai, dan bentuknya dengan aset lain. Terdapat lima cara untuk mengenali Mal Al-Mithliy menurut para fuqaha:

  1. Barang boleh diukur.
  2. Barang boleh ditimbang.
  3. Barang yang mempunyai spesifikasi yang sama boleh dikira.
  4. Barang boleh diukur dengan sentimeter, meter, atau sebarang kaedah pengukuran.
  5. Perbezaan barang boleh diterima oleh semua pihak yang terlibat.

            Contoh: Gula, Gandum, Telur

Secara ringkasnya, Mal Al-Mithliy boleh difahami sebagai barang atau aset yang boleh diambil manfaat daripadanya. Sekiranya terdapat sebarang kerosakan yang berlaku, ia mestilah diganti dengan barang lain yang boleh memberi manfaat kepada kita sama seperti sebelum ini atau dengan pampasan nilai yang sama.

Mal Al-Qimiy

Mal Al-Qimiy ialah sejenis aset dimana ia tidak mempunyai persamaan dari segi nilai, spesifikasi atau apa-apa sahaja yang berbeza daripada barang biasa. Ia boleh serupa dalam spesifikasi namun tidak pada nilai. Harga dan nilai barang ini tidak boleh dinilai sama untuk setiap orang, sesetengah akan menilai barang itu dengan nilai yang lebih rendah manakala ada sesetengah pula yang sanggup membayar dengan harga yang tinggi hanya untuk memiliki barang tersebut. Sebagai contoh, sehelai baju yang dicetak dan mempunyai tandatangan daripada pereka itu sendiri adalah lebih unik berbanding ribuan baju yang sama jenis dengannya tetapi tidak mempunyai tandatangan. Kebiasaanya, ada yang akan menilai baju yang ditandatangani itu sebagai lebih berharga daripada yang lain, tetapi ada juga yang tidak peduli sama ada ia baju yang telah ditandatangani atau tidak asalkan ianya boleh dipakai.

Kembali kepada topik utama kita, NFT termasuk dalam kategori Mal ini. Setiap satu NFT adalah berbeza daripada yang lain. Setiap satunya mempunyai sifat uniknya yang tersendiri yang menjadikan penilaiannya berbeza bergantung kepada perspektif seseorang. Walau bagaimanapun, ini bukanlah satu hujjah atau bukti untuk mengklasifikasikan NFT sebagai Halal. Perbincangan yang lebih mendalam tentang prinsip Fiqh juga perlu dipertimbangkan untuk menilai status syariah sesuatu instrumen itu.

Garis Panduan Syariah NFT

Dalam usaha untuk menilai Halal dan Haram dalam NFT, terdapat keperluan untuk kita memahami dalam keadaan apakah ia boleh mematuhi piawaian syariah atau tidak. Menurut Mufti Faraz Adam (Ketua firma penasihat syariah, Amanah Advisors), terdapat beberapa Prinsip Fiqh yang perlu diselaraskan dengan ketetapan NFT sebelum ia dibenarkan:

  • Maliyyah: Boleh menjadi aset dan diterima atau diperlukan oleh manusia.
  • Taqawwum: Mempunyai nilai. NFT mestilah sah dan mempunyai nilai padanya. Sebagai contoh, orang ramai boleh mendapat manfaat daripada permerdagangan NFT dan artis akan mendapat royalti daripada jualan tersebut dan ini membuktikan bahawa seni itu mempunyai nilai.
  • Manfaah Maqsudah: Utiliti aset harus sejajar dengan ketetapan syariah.
  • Israf dan Tabdhir: Sikap boros dan pembaziran hendaklah dielakkan
  • Potensi pelanggaran syariah yang lebih luas
  • Kesan: Pelaburan yang dibuat tidak seharusnya memberi kesan buruk kepada kewajipan Islam seseorang.

Secara amnya, tiada lagi fatwa rasmi berhubung dengan ketetapan NFT setakat ini. Walau bagaimanapun, kebolehpatuhan NFT tertentu adalah berdasarkan kandungan NFT tersebut, perkara yang diwakili oleh NFT itu dan jenis imej yang dibawa oleh NFT tersebut. Oleh itu, kami mengetengahkan garis panduan untuk membeli NFT:

  1. NFT tidak seharusnya mewakili sebarang jenis unsur terlarang. Contoh: Koleksi NFT tidak seharusnya mewakili komuniti LGBT atau mempromosikan laman lucah.
  2. NFT tidak seharusnya melambangkan pelanggaran hak asasi manusia. Contoh: gangstarisme atau kekasaran terhadap manusia.
  3. NFT tidak seharusnya dalam bentuk yang dilarang. Contoh: Figura merokok atau wanita seksi.
  4. Mana-mana imej yang tidak beretika. Contoh: Najis atau tanda jari tengah.
  5. Sesuatu yang memberi imej buruk terhadap Islam. Contoh: Orang Islam meminum arak.

Kesimpulan

Matawang kripto telah berkembang dengan begitu pesat, begitu juga NFT. Orang ramai sedang cuba untuk membangunkan sistem yang terbaik untuk mengekalkan utiliti NFT. Belum terdapat fatwa rasmi terhadap NFT dari sudut pandangan Islam, namun orang ramai sudah bergegas untuk menceburkan diri dalam NFT, kerana mengetahui bahawa terdapat potensi besar dalam pelaburan ini. Masa hadapan pastinya akan membawa lebih banyak lagi kepada matawang kripto dan adalah penting untuk kita sentiasa sedar tentang perkara yang kita laburkan. Allah lebih mengetahui yang terbaik.