Sejauh Mana Kefahaman Kita Mengenai Riba?

17 November 2021 by Sharlife

Seringkali kita mendengar perkataan Riba diulang-ulang oleh sesetengah asatizah di meja penceramah agar kita tidak terlibat didalamnya. Adakalanya disebut didalam doa-doa agar kita dijauhi daripada melakukannya. Namun pemahaman yang jelas perlu diterapkan kepada masyarakat kita khususnya yang beragama Islam agar tidak tertipu dengan kefahaman salah berkenaan Riba. Kadangkala, ada yang mendefinisikan Riba sebagai mengambil keuntungan yang terlalu tinggi dalam jual beli. Adakah ini yang dimaksudkan dengan Riba? Apakah sebenarnya maksud Riba yang disebut oleh Allah di dalam Al-Quran?

Apa itu Riba?

Riba diambil daripada perkataan arab  dengan makna membesar, meningkat, tambahan atau berlebihan yang membawa maksud lebihan atau peningkatan sesuatu melebihi daripada jumlah asal sesuatu. Manakala maksud Riba dari perspektif Shariah pula ialah lebihan yang perlu dibayar oleh seseorang kepada seorang yang lain apabila meminjam atau menukar barang ribawi mengikut syarat yang telah dipersetujui bersama. Riba berlaku dalam dua keadaan, pertama ianya berlaku dalam hutang (Ad-Duyun) dan yang kedua berlaku dalam kontrak jual beli (Al-Buyu').

Jenis Riba

Riba secara umum berlaku pada dua keadaan yang telah disebutkan sebelum ini, namun pembahagian tersebut juga ada pecahan dibawahnya. Terdapat 4 jenis riba dan diantaranya disebut dengan jelas jenisnya secara matan didalam hadis Nabi S.A.W iaitu Riba Jahiliyyah. Adapun jenis yang lain, ianya dibahagikan oleh para Ulama untuk memudahkan kita mengenalpasti jenis Riba yang bertepatan dengan Hadis Nabi S.A.W. Namun, untuk artikel ini memadai kami sertakan dua jenis utama didalam Riba untuk memudahkan kefahaman pembaca.

Riba Al-Buyu'

Riba Al-Buyu' ialah Riba yang berlaku dalam transaksi jual beli atau pertukaran item ribawi. Ianya boleh berlaku pada dua keadaan. Pertama, berlaku pada pertukaran item ribawi yang sama jenis tetapi berbeza kadar dan timbangannya. Manakala keadaan kedua pula berlaku apabila pertukaran item ribawi yang berlainan jenis dibuat pada masa dan majlis yang berbeza (bayaran tertangguh). Mudahnya, syarat pertukaran item ribawi adalah mestilah sama timbangannya (jika jenis yang sama) dan "on the spot". Sebagai contoh, pertukaran Emas dengan Emas mestilah pada timbangan yang sama dan juga serta merta, manakala pertukaran Emas dengan Perak pula mesti dibuat secara serta merta tanpa syarat ianya perlu sama timbangan.

6 Item Ribawi yang disebut dalam Hadis:

  1. Emas
  2. Perak
  3. Gandum
  4. Barli
  5. Kurma
  6. Garam

Riba Ad-Duyun

Riba Ad-Duyun berlaku dalam kontrak pinjaman. Ianya berlaku apabila ada tambahan atau bayaran lebihan daripada jumlah asal pinjaman. Kebiasaannya Bank Konvensional akan mengenakan bayaran "interest" terhadap peminjam apabila terlibat dengan pinjaman. Inilah Riba yang ramai keliru dan masih lagi terlibat didalam kontrak pinjaman dengan Bank Konvensional. Riba Ad-Duyun juga boleh berlaku apabila peminjam dikenakan bayaran penalti jika terlambat membayar hutang melebihi tempoh yang telah ditetapkan. 

Pengharaman Riba

Sepertimana Arak diharamkan secara berperingkat, sama halnya juga dengan Riba yang diharamkan oleh Allah secara berperingkat. Pengharaman Riba melalui 4 peringkat, ini kerana pada zaman Rasulullah, Riba sudah menjadi budaya Arab jahiliyyah ketika itu dan untuk menghapuskan kebiasaan yang sudah lama diamalkan oleh masyarakat ketika itu bukanlah tugas yang mudah. 

Peringkat Pertama-Nasihat

Allah menurunkan ayat didalam Surah Ar-Rum: 39 untuk menegur masyarakat Arab ketika itu yang rakus dalam mengambil riba sebagai keuntungan. Ayat ini bertujuan untuk mengingatkan bahawa Riba itu tiada manfaaatnya dan berat akibatnya.

"Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). Dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda."

Peringkat Kedua-Peringatan

Penurunan ayat seterusnya berlaku adalah sebagai peringatan kepada orang Islam yang ketika itu menjalankan urusniaga dengan orang yahudi yang terkenal dengan urusniaga Riba walaupun telah diharamkan bagi mereka dalam kitab Taurat. Namun ayat ini juga sebagai petanda kepada orang Islam akan berlakunya pengharaman Riba. Allah menyebut didalam Surah An-Nisa Ayat 161-162:

"Kerana kezaliman orang-orang Yahudi, kami haramkan bagi mereka makanan yang baik-baik yang (dahulu) pernah dihalalkan; dan kerana mereka sering menghalang (orang lain) dari jalan Allah. Dan kerana mereka menjalankan riba', padahal sungguh mereka telah dilarang darinya, dan kerana mereka makan harta orang dengan secara tidak sah (batil). Dan Kami sediakan untuk orang-orang kafir di antara mereka azab yang pedih."

Peringkat Ketiga-Pengharaman

Akhirnya pada peringkat ketiga, dengan jelas dan nyata Allah mengharamkan amalan Riba yang telah lama diamalkan masyarakat Arab ketika itu. Allah berfirman didalam Surah Ali-Imran ayat 130: 

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya."

Peringkat Keempat-Solusi

Peringkat terakhir pengharaman Riba, Allah memberi amaran keras bagi mereka yang masih melakukan Riba. Dalam ayat ini juga disebut solusi daripada riba itu adalah jual beli yang telah dihalalkan bagi umat Islam. Allah menyebut didalam Surah Al-Baqarah Ayat 275-281:

"Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya."

Begitulah peringkat-peringkat pengharaman Riba oleh Allah. Allah memberi masa untuk masyarakat Arab ketika itu untuk menyesuaikan diri mereka dengan hukum ini. Kemudian Mengharamkannya secara menyeluruh sesuai dengan perancangan Allah.

Kenapa Riba diharamkan?

Setiap perundangan atau hukum daripada Allah pasti wujud hikmah disebaliknya. Riba secara jelas menindas penghutang yang secara alaminya memerlukan wang untuk meneruskan kehidupan. Abaikan mereka yang berhutang untuk perkara yang bukan keperluan, lumrahnya penghutang adalah golongan yang terpaksa berbuat demikian tetapi terpaksa pula menanggung lebihan (interest). Secara langsung ianya menambah beban yang sedia ada pada penghutang. 

Apa pula impak makro daripada pengamalan Riba dalam masyarakat? Riba bahkan merosakkan Ekonomi dan aliran wang dalam masyarakat. Ianya adalah faktor utama mereka yang mempunyai kekayaan untuk meminjamkan wang kepada unit defisit dalam Ekonomi dan ada kemungkinan ianya dieksploitasi oleh unit defisit. Justeru, pengharaman Riba adalah bertepatan untuk mengelakkan manipulasi dan eksploitasi dalam Ekonomi dari mana-mana pihak. Yang kaya makin kaya, yang miskin makin miskin, itulah realiti yang terjadi pada hari ini.

Konklusi

Apapun faktor dan keburukan riba, sebagai seorang Muslim, kita wajib mentaati perintah dan larangan daripada Allah. Umat Islam sepatutnya tidak lagi terlibat dengan perbankan konvensional, banyak usaha yang telah dilakukan oleh para Ulama dalam membangunkan Bank Islam yang bebas Riba. Ayuh perangi Riba, semoga kita semua dijauhi dari perbuatan Riba. Wallahua'lam.