Zakat untuk Mangsa Banjir

27 Januari 2022 by Sharlife

Pada 18 Disember 2021, 58 lokasi di 8 negeri di Malaysia telah terdedah dengan ancaman banjir yang dinilai bukanlah banjir kilat yang berlaku, akan tetapi banjir besar oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET). Ia memberi kesan buruk hingga menjejaskan keselamatan orang awam dan juga melibatkan kerugian harta benda awam dan persendirian. Kejadian hujan yang berterusan ini mengakibatkan aliran sungai mengalir dengan deras sehingga kawasan sekitarnya menjadi seperti kolah yang penuh dengan air keruh. Banjir besar ini juga turut mengakibatkan kerosakan sepenuhnya atau total loss. Kerosakan yang berlaku terutamanya di bandar atau kawasan yang berpadatan tinggi meningkatkan lagi nilai kerugian disesuatu tempat. 

Ramai pihak turut sama membantu seperti NGO, orang awam, komuniti twitter, persatuan, kelab universiti dan sebagainya menolong mangsa-mangsa banjir dari segi tenaga dan kewangan. Pusat Zakat turut sama turun padang untuk menyalurkan agihan zakat kepada mangsa-mangsa banjir. Secara dasarnya, mangsa-mangsa banjir tidaklah dikira sebagai penerima zakat, akan tetapi Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan isu ini didalam Irsyad Al-Fatwa Ke-14.

Siapakah Penerima Zakat?

Penerima zakat diklasifikasikan kepada 8 kumpulan iaitu orang miskin, faqir, amil zakat, muallaf, hamba, orang yang berhutang, fi sabilillah dan Ibnu Sabeel. Ia diterangkan dalam Al-Quran:

"Sesungguhnya zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang miskin, amil zakat, orang yang dilunakkan hatinya (mualaf), untuk (memerdekakan) hamba sahaya, untuk (membebaskan) orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai kewajiban dari Allah. Allah Maha Mengetahui, Mahabijaksana." [At-Taubah:60]

Ayat tersebut menjelaskan bahawa agihan zakat hanyalah untuk penerima tertentu. Ini disebabkan risiko penyelewengan dan penggunaan hawa nafsu dalam mengagihkan dana zakat. Jika dilihatkan dari ayat tersebut, tiada langsung disebutkan zakat ini untuk golongan yang ditimpa musibah bencana alam atau mangsa banjir.

Zakat untuk Mangsa Banjir

Dr Zulkifli menerangkan bahawa jumhur ulama' berpendapat tidak harus memberikan zakat selain dari lapan penerima golongan ini. Mazhab Syafie menetapkan kewajipan untuk lapan golongan ini dibahagikan kepada semua. Manakala mazhab yang lain memadai untuk diberikan kepada sebahagian golongan sahaja. Ini turut difatwakan oleh Ibn Ajil al-Asma'ie dan ramai lagi dalam kalangan ulama' mutakhir disebabkan sukar mencari lapan asnaf.

Kembali kepada isu di atas, sebahagian ulama menganggap bencana yang menyebabkan kemusnahan harta benda dan memerlukan bantuan serta perlu berhutang untuk keperluan diri dan keluarga mereka. Mereka yang mengalami situasi ini digolongkan dalam asnaf al-gharimin iaitu orang yang berhutang. Sebahagian ulama mensyaratkan jenis hutang ini adalah yang bersifat darurat dan keperluan dan bukan untuk berfoya-foya atau kemewahan. Oleh itu, ia dikirakan harus untuk diberi zakat kepada golongan yang ditimpa bencana sepeti banjir besar, puting beliung, tanah runtuh, gempa bumi dan lain-lain yang menyebabkan rumah mereka musnah, tanaman mereka binasa, dan tidak ada lagi apa-apa yang mereka miliki.

Tafsiran Ulama Tentang Al-Gharimin

Imam al-'Azim al-Abadi menjelaskan: "Siapa yang ditimpa hartanya dengan sebab kebinasaan daripada langit atau bumi seperti kesejukan, air batu, tenggelam dan seumpamanya yang menyebabkan tiada lagi baginya barangan untuk hidup maka haruslah baginya meminta sehingga dapat menyelesaikan kehidupannya semula."

Dr Yusuf Al-Qardhawi juga memberikan fatwa berkenaan dengan isu ini: "Aku khususkan sifat al-gharimin adalah golongan yang terkena bencana alam sehingga binasa harta bendanya dan terpaksa kepada berhutang maka hukumnya dibolehkan."

Kesimpulan

Hampir setiap tahun, Malaysia mengalami banjir yang selalunya terjadi di bahagian pantai timur. Pada penghujung tahun 2021, rakyat Malaysia diuji dengan banjir besar dan yang terburuk sehingga melibatkan kawasan pantai barat serta kawasan bandar. Menjadi sesuatu yang melegakan apabila kesyumulan Islam ini juga menitikberatkan isu-isu semasa untuk diberikan bantuan kepada mereka yang terkesan. Pihak zakat dibenarkan untuk memberi bantuan zakat kepada golongan yang ditimpa bencana yang menyebabkan rumah mereka musnah, tanaman mereka binasa, dan tidak ada lagi apa-apa yang mereka miliki.